Am 17/09/2026 08:04 PM

Landasan KKIA Ditutup Sementara Bagi Kerja Pembaikan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Landasan KKIA Ditutup Sementara Bagi Kerja Pembaikan

KOTA KINABALU, 17 Sept (Bernama) -- Beberapa penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) mengalami kelewatan, pembatalan dan pelencongan laluan petang ini susulan penutupan sementara landasan bagi kerja-kerja pembaikan.

 Tinjauan Bernama pada paparan maklumat penerbangan di lapangan terbang itu kira-kira 5.40 petang tadi mendapati beberapa penerbangan yang tiba dari Tawau, Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Guangzhou (China) disenaraikan mengalami kelewatan.

Sekurang-kurangnya dua penerbangan yang dijadualkan tiba dari Lahad Datu dan Labuan, pada masa itu turut disenaraikan sebagai dibatalkan pada paparan itu.

Ketua Operasi KKIA Hassim Duman berkata landasan pada mulanya dijadualkan ditutup selama dua jam bermula 2.45 petang tadi bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dilakukan.

Bagaimanapun, sumber Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) kemudian dikeluarkan bagi melanjutkan tempoh penutupan dari 5 petang hingga 8 malam ini. 

Sementara itu, Malaysia Airports menerusi hantaran Facebook memaklumkan landasan itu akan dibuka semula selepas pemeriksaan keselamatan dan kerja-kerja pembersihan selesai dijalankan.

Sumber syarikat penerbangan turut memaklumkan beberapa penerbangan yang dijadualkan tiba telah dilencongkan ke Labuan dan Sandakan susulan penutupan landasan itu.

Seorang penumpang, Mohd Rasedi Che Mamat, 67, berkata penerbangannya ke Sandakan yang dijadual pada 12.20 tengah hari mengalami kelewatan hingga petang.

Mohd Rasedi berkata dia datang ke bandar raya ini untuk menjalani pemeriksaan perubatan berkaitan jantung dan memilih menaiki penerbangan pulang ke Sandakan berbanding pengangkutan darat kerana keadaan kesihatannya itu.

Mohd Firman Syah Zainal, 32, dari Sipitang kira-kira 145 kilometer dari sini berkata penerbangannya ke Kuala Lumpur, yang pada asalnya dijadualkan pada 6 petang telah ditangguhkan ke 8.45 malam.

-- BERNAMA