KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan domestik bernilai RM500 secara one-off atau sekali beri bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar malah meringankan beban kewangan ibu bapa.
Pengumuman kerajaan itu ternyata memberi kelegaan kepada pelajar baharu yang membantu mereka dalam membuat persediaan bagi memulakan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan berita gembira itu berkata bantuan kepada setiap pelajar baharu IPTA yang layak bagi sesi kemasukan September atau Oktober ini akan memberi manfaat kepada 7,095 pelajar yang perlu menggunakan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Bagi mahasiswa baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang yang berasal dari Labuan, Nur Shafeira Adrieana Mohd Faizrizey, 20, berkata pengalaman pertama berjauhan daripada keluarga memberi cabaran baharu kepadanya selain kos sara hidup.
“Kos tiket penerbangan agak tinggi untuk ke Semenanjung dan saya bimbang ia akan membebankan ibu bapa untuk menampungnya. Saya bersyukur dengan adanya bantuan ini, saya tidak perlu terlalu bimbang mengenai isu kewangan,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu kepada Bernama.
Beliau berkata selain tambang penerbangan, pelajar juga perlu memikirkan kos perbelanjaan awal seperti penginapan, barang keperluan harian dan peralatan pembelajaran yang secara keseluruhannya boleh menelan kos yang sangat tinggi.
Sementara itu, mahasiswa baharu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Samarahan, Sarawak, Nur Marissa Amani Izwar Muzzani, 18, dari Selangor berkata inisiatif tersebut dapat membantu mengurangkan beban tambang penerbangan bagi penuntut yang akan melanjutkan pengajian merentas negeri.
"Walaupun bantuan ini tidak menampung keseluruhan kos perjalanan, sekurang-kurangnya ia memberi ruang kepada keluarga untuk menggunakan wang yang ada bagi keperluan awal pengajian yang lain," katanya.
Seorang lagi penuntut UiTM Kota Samarahan yang berasal dari Johor, Ummu Sofiyyah Ahmad Zahid, 18, berkata bantuan tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan kos pengajian malah membantu pelajar daripada golongan berpendapatan rendah menguruskan perbelanjaan.
“Saya sangat bersyukur atas bantuan yang diberikan kerana ia dapat memudahkan urusan pelajar baharu yang menyambung pengajian di tempat yang jauh seperti dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.
“Saya berharap bantuan berkenaan dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang bagi menampung pelbagai beban kos pengajian lain seperti yuran, penginapan dan sara hidup pelajar,” katanya.
-- BERNAMA