Am 18/09/2026 11:37 PM

PDRM Tumpas Aktiviti E-sisa Haram, Rampasan Bernilai RM7.78 Juta Di Senawang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PDRM Tumpas  Aktiviti E-sisa Haram, Rampasan Bernilai RM7.78 Juta Di Senawang
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri pada sidang media Operasi Taring Alpha hari ini.

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kegiatan pengumpulan dan penyimpanan sisa elektrik dan elektronik (e-sisa) secara tidak sah dengan nilai rampasan dianggarkan RM7.78 juta, dalam serbuan di sebuah premis di Senawang, Negeri Sembilan, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata operasi pada 10.30 pagi itu, dilaksanakan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).

Beliau berkata operasi bersepadu yang dinamakan Ops Taring E-Waste itu turut melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, SWCorp Nilai, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

“Hasil pemeriksaan menyeluruh mendapati, terdapat sejumlah besar barangan elektrik dan elektronik yang disimpan secara pukal, termasuk longgokan e-sisa, beg jumbo dan palet yang mengandungi barangan elektronik. 

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7.781 juta dengan barangan e-sisa sahaja bernilai RM7.725 juta membabitkan 309 tan e-sisa, berserta pelbagai mesin dan 750 kilogram palet solar,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Yusri berkata sebanyak 11 individu warga Bangladesh berusia antara 27 hingga 49 tahun, yang terdiri daripada seorang penyelia dan 10 pekerja am telah ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata sebahagian daripada individu terbabit disyaki melakukan kesalahan berkaitan dokumen perjalanan dan kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, untuk tindakan lanjut. 

“Pemeriksaan oleh JAS turut mendapati premis itu tidak mempunyai lesen yang dibenarkan untuk pengurusan dan penempatan buangan terjadual e-sisa dan tindakan telah diambil di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusri berkata sepanjang tempoh 1 Jan hingga 19 Sept tahun ini, WCB/PSK telah melancarkan 264 serbuan di seluruh negara dan menahan 452 individu atas pelbagai kesalahan dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM329.6 juta. 

“Orang ramai dan pihak industri diseru supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa, sekiranya mengetahui kewujudan aktiviti pengumpulan, penyimpanan atau pengurusan e-sisa yang disyaki dijalankan secara tidak sah,” katanya. 

-- BERNAMA