Dunia 18/09/2026 10:54 PM

SIA Dinobat Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SIA Dinobat Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia 2026
Kredit : FB Singapore Airlines

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 18 Sept (Bernama) -- Singapore Airlines (SIA) dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia pada Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2026, sekali gus merangkul gelaran itu buat kali keenam.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Skytrax memaklumkan pemenang tahun lepas Qatar Airways menduduki tempat kedua, diikuti Cathay Pacific Airways di tempat ketiga, ANA All Nippon Airways dari Jepun di tempat keempat dan Turkish Airlines di tempat kelima, dalam kalangan lebih 300 syarikat penerbangan.

Malaysia Airlines memenangi anugerah Perkhidmatan Kakitangan Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia dan menduduki tempat ketiga dalam kategori Kru Kabin Terbaik Dunia.

AirAsia mengekalkan gelaran Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia, anugerah yang dimenanginya setiap tahun sejak 2010.

Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax Edward Plaisted berkata SIA turut memenangi anugerah Kelas Ekonomi Terbaik Dunia dan Katering Dalam Pesawat Kelas Ekonomi Terbaik Dunia.

“Kejayaan ini sepatutnya menjadi sumber kebanggaan dan motivasi yang besar buat pengurusan serta kakitangan Singapore Airlines, malah lebih istimewa kerana ini merupakan kali keenam dalam sejarah anugerah berkenaan Singapore Airlines memenangi anugerah tertinggi ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIA Goh Choon Phong berkata anugerah itu menjadi bukti dedikasi dan profesionalisme kakitangannya yang sentiasa berusaha mengekalkan standard perkhidmatan serta kecemerlangan operasi syarikat penerbangan itu.

“Kami berterima kasih kepada pelanggan atas kepercayaan dan sokongan mereka, dan kami komited untuk memberikan pengalaman perjalanan bertaraf dunia yang luar biasa setiap kali mereka terbang bersama kami,” katanya.

-- BERNAMA