Am 17/09/2026 08:09 PM

Perlindungan Bil Elektrik Pengguna Domestik Diperluas Hingga 800kWj - PM Anwar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Perlindungan Bil Elektrik Pengguna Domestik Diperluas Hingga 800kWj - PM Anwar
Kredit : FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) -- Kerajaan MADANI memperluas tahap perlindungan bil elektrik bagi pengguna domestik daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800kWj sebulan, berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Dis ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata langkah penambahbaikan subsidi bil elektrik itu, diputuskan sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan hidup rakyat ketika ini.

“Melalui langkah ini, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800kWj sebulan akan diberikan perlindungan melibatkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas mutakhir ini, mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah, menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600kWj dan menyebabkan kenaikan bil yang luar biasa.

Justeru, beliau berkata Kerajaan MADANI akan terus memantau rapi perkembangan kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga semasa bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan tarif elektrik mengambil kira keseimbangan antara kemampuan dan beban hidup rakyat, keterjaminan bekalan elektrik dan kemampanan sektor tenaga negara.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Suruhanjaya Tenaga (ST) atas peranan mereka yang membolehkan langkah itu dilaksanakan segera.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan isu kenaikan bil elektrik yang menjadi keresahan sebahagian pengguna sejak kebelakangan ini.

Mesyuarat yang berlangsung kira-kira sejam di Kementerian Kewangan itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

-- BERNAMA