Am 17/09/2026 05:53 PM

Insiden 'Jelingan': Representasi Juruteknik Masih Dalam Penelitian AGC

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Insiden 'Jelingan': Representasi Juruteknik Masih Dalam Penelitian AGC

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) masih meneliti representasi dikemukakan seorang juruteknik untuk mempertimbangkan semula pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki dalam insiden “jelingan” di sebuah restoran di Kepong, di sini Mei lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Adiba Iman Hassan berkata representasi oleh tertuduh kedua, Lai Kae Bin dikemukakan pada 2 Sept lepas dan kini masih dalam penelitian.

“Mohon direkodkan bahawa dokumen berkaitan kes telah diserahkan kepada pihak pembelaan,” katanya pada sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noor Aini Yusof di sini hari ini.

Pada 14 Mei, Lai, 33, bersama dua rakannya, tukang kayu Wong Weng Luen, 49, dan pekerja pusat memorial Wan Ken Fei, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Andrew Teh Tiek Hua, 49, di sebuah restoran di Jalan Kepong, Metro Prima di sini pada 2 pagi, 7 Mei lepas.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Adiba Iman berkata pihak pendakwaan masih menunggu laporan penilaian psikiatri bagi Wong, selain laporan forensik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta laporan perubatan penuh daripada hospital swasta dan kerajaan berhubung pengadu. 

Wong tidak dibawa ke mahkamah hari ini kerana dia sedang menjalani penilaian psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Okt ini untuk sebutan kes bagi laporan psikiatri dan penyerahan dokumen tambahan kepada pihak pembelaan.

Peguam Muhamad Firdaus Jumaludin yang mewakili Lai dan Wong ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata representasi itu dikemukakan bagi memohon pertimbangan semula pertuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan atas alasan pertuduhan itu terlalu berat.

“Kami (pembelaan) telah meneliti keterangan kes dan tidak melihat sebarang niat di pihak (tertuduh kedua) untuk melakukan perbuatan itu, ia berlaku secara spontan,” katanya.

Prosiding hari ini turut dihadiri peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab yang mewakili Wan. 

Sebelum ini, tular menerusi media sosial satu rakaman CCTV memaparkan tiga individu menyerang seorang lelaki sehingga cedera selepas didakwa menjeling sekumpulan individu ketika makan di sebuah restoran di Kepong.

-- BERNAMA