Am 17/09/2026 05:58 PM

LTdL 2026: Astana, Picnic Hadir Dengan Misi Berbeza

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
LTdL 2026: Astana, Picnic Hadir Dengan Misi Berbeza

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Dua pasukan WorldTeam, XDS Astana Team dan Team Picnic PostNL tampil dengan misi berbeza pada saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang memasuki edisi ke-30 dari 27 Sept hingga 4 Okt ini.

Majlis Sukan Negara (MSN) yang juga Sekretariat LTdL dalam kenyataan hari ini memaklumkan berdasarkan senarai awal nama pelumba yang dihantar menjelang permulaan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar pada 27 Sept, Astana menyenaraikan empat pakar pecut dan dua pendaki dalam barisan enam pelumbanya manakala Picnic PostNL masih berharap kepada barisan pelumba kurang ternama. 

Astana berdaftar di Kazakhstan menghantar gabungan Matteo Malucelli dan Gleb Syritsa yang masing-masing mengumpul 10 kemenangan peringkat dalam LTdL 2023 hingga 2025, serta bantuan Lev Gonov dan pelumba muda, Alessio Dalle Vedove, dengan sasaran henjutan terakhir beramai-ramai di laluan landai.

Pelumba Equador berusia 25 tahun, Harold Martin Lopez pula diharap mampu mengejar kedudukan terbaik dalam klasifikasi individu keseluruhan (GC), bersama-sama pemenang Peringkat 8 LTdL 2025 dari Tangkak ke Kuala Lumpur, Aaron Gate.

Pelumba berpengalaman kelahiran Itali, Malucelli, 32, dilihat masih berada pada tahap terbaiknya dan berkesempatan bersaing dalam Giro d’Italia 2026, begitu juga pelumba Rusia, Syritsa, 26, yang mencatat kemenangan peringkat terbaharunya di Baku-Khankendi Tour of Azerbaijan, Mei lepas.

Pelumba Rusia Gonov, 26, yang turut beraksi pada LTdL 2025 dan menduduki tangga ke-50 dalam senarai GC, dan pelumba New Zealand, Gate, 30, diharap memacu Lopez ketika pendakian atau mengepalai teraju depan Astana sebelum membuka ruang untuk Malucelli atau Syritsa melakukan pecutan menjelang garisan penamat.

Berbeza dengan Picnic yang menonjol ketika penampilan pertama pada 2024 menerusi pemenang jersi keseluruhan dari Britain Max Poole, kali ini menyenaraikan hanya dua pendaki tulen iaitu Tim Naberman, 27, dan pelumba Colombia berusia 21 tahun, Guillermo Juan Martinez.

Naberman diberi kesempatan beraksi dalam Giro d’Italia pada Mei lepas tetapi sekadar menduduki tangga ke-132 manakala Martinez pula mendapat peluangnya berkayuh dalam Vuelta a Espana 2026 selepas beraksi baik menduduki tempat ke-16 keseluruhan dalam Volta ao Algarve pada Februari, dan ke-20 di Tour de Pologne, bulan lepas.

Pelumba kelahiran Australia, Matt Dinham yang berada di tangga ke-15 keseluruhan pada LTdL 2025, dilihat bakal bergelut untuk memulihkan tahap kecergasannya selepas mengalami kecederaan kaki pada Tour de Suisse, Jun lepas.

Tiga lagi pelumba pecut Picnic dalam senarai yang dibawa pengurus Melvin Pulliere itu nanti ialah pelumba Ireland berusia 27 tahun Dillon Corkery dan dua pelumba muda Belanda, Milan de Cuester, 20, dan Mees Vlot, 21.

Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdL 2026 Emir Abdul Jalal dalam kenyataan sama berkata walaupun Astana dan Picnic pasukan berstatus WorldTeam, objektif dan strategi utama mereka kali ini mudah dibaca.

“Amat jelas Astana yang menampilkan Malucelli dan Syritsa, selain Gate dan Gonov memberi lebih perhatian untuk mencari kemenangan peringkat di laluan landai. 

“Situasi (Picnic) seakan-akan terdesak untuk memungut mata sebanyak mungkin dan senarai awal enam pelumba mereka tampak kurang meyakinkan, tetapi saya percaya pasti berlaku rombakan beberapa nama pelumbanya beberapa hari sebelum terbang ke Malaysia,” katanya.

Sebagai rekod, 19 pelumba tersingkir kerana lebih masa (Outside Time Limit) pada Peringkat 4 Kuala Kubu Baru ke Bentong di LTdL 2024, selepas mengharungi pendakian ke Cameron Highlands, sehari sebelumnya.

LTdL 2026 yang berstatus 2.ProSeries akan bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar pada 27 Sept, dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar-Putrajaya pada 4 Okt, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5km.

-- BERNAMA