Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Krisis Selat Hormuz seharusnya menjadi satu peringatan penting bagi Asia Tenggara kerana sebarang gangguan terhadap Selat Melaka bukan sahaja menjejaskan keselamatan tenaga malah turut memberi kesan pada data kritikal dan transaksi kewangan, menurut Citizens International.
Pengerusinya, Dr Shahridan Faiez, yang pernah berkhidmat dengan Bank Dunia dan kini merupakan Pengarah Teknikal di Thinkcity, berkata Selat Melaka bukan sekadar laluan utama perdagangan maritim.
Dalam satu temu bual program Bernama World di Bernama TV pada Rabu, beliau berkata lebih 39 peratus bekalan minyak yang diangkut menerusi laut melalui laluan air tersebut, manakala hampir 80 peratus import minyak Asia Timur turut melintasinya, dengan nilai kargo tahunan mencecah US$5 trilion.
“Apa yang ramai tidak tahu ialah hakikat bahawa di bawah permukaan air, iaitu di dasar laut, terdapat kabel dasar laut yang sangat penting dan strategik untuk penghantaran data; kabel-kabel ini memindahkan transaksi kewangan bernilai US$10 trilion setiap hari.
“Jika berlaku sebarang kejadian buruk terhadap kabel dasar laut di Selat Melaka ini, ia akan memberi impak besar bukan sahaja kepada keselamatan tenaga kita, malah terhadap operasi bank, hospital dan lapangan terbang; secara asasnya, ia akan melumpuhkan operasi bukan sahaja negara kita, malah seluruh rantau ini,” katanya.
Menyentuh mengenai andaian untuk melencongkan laluan perkapalan melalui Selat Lombok dan Selat Makassar sekiranya Selat Melaka mengalami gangguan serius, beliau berkata pilihan sedemikian tidak realistik memandangkan perbezaan ketara dari segi trafik kapal serta ketiadaan infrastruktur yang diperlukan.
“Sebenarnya, ia bukan perbandingan yang adil kerana Selat Melaka mencatatkan lebih 102,000 pelintasan setahun. Sebaliknya, Selat Lombok dan Makassar hanya merekodkan kira-kira 6,000 kapal, iaitu kurang daripada enam peratus trafik yang melalui Selat Melaka, jadi, mengharapkan laluan itu sebagai pelan sandaran adalah tidak realistik.
“Saya berpendapat satu lagi faktor penting ialah hakikat bahawa Selat Lombok dan Makassar tidak mempunyai infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong laluan perkapalan alternatif, termasuk kemudahan pelabuhan, perkhidmatan pengisian bahan api (bunkering), perkhidmatan jurupandu kapal serta limbungan pembaikan kapal,” katanya.
Beliau menambah bahawa hanya kira-kira 20 daripada 60 kapal khusus pembaikan kabel di seluruh dunia beroperasi pada satu-satu masa, bermakna kerja-kerja baik pulih akibat sebarang insiden di Selat Melaka boleh mengambil masa berbulan-bulan dan bukannya berminggu-minggu, serta memberi impak besar kepada Malaysia dan rantau ini.
Mengenai aspek keselamatan laluan air tersebut, Shahridan menegaskan bahawa tanggungjawab utama mesti kekal sepenuhnya pada negara-negara pesisir, iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.
Pada awal tahun 2000-an, beliau berkata terdapat cadangan daripada kuasa luar untuk "memainkan peranan” dalam mengawal keselamatan Selat tersebut, namun negara-negara pesisir dan ASEAN secara amnya menolak cadangan itu dan mewujudkan inisiatif yang dikenali sebagai Rondaan Selat Melaka (Malacca Straits Patrol)."
"Kita mahu mengekalkan keadaan itu. Kita tidak mahu mana-mana kuasa besar campur tangan secara paksa di Selat Melaka kerana saya berpendapat bahawa mengekalkan sifat neutral zon dan rantau kita adalah amat penting; di sinilah peranan ASEAN menjadi kritikal dan konsep 'kepusatan ASEAN' benar-benar perlu dilaksanakan," katanya.
Menjawab persoalan sama ada ASEAN memerlukan rangka kerja yang lebih mengikat untuk melindungi Selat Melaka, beliau berkata ASEAN sudah pun mempunyai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) yang dimeterai pada 1976, yang mengukuhkan prinsip tidak campur tangan serta komitmen terhadap penyelesaian pertikaian dan konflik secara aman.
Citizens International ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia.
-- BERNAMA