Am 17/09/2026 04:13 PM

Remaja Perempuan Hidap Skoliosis Selamat Jalani Pembedahan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Remaja Perempuan Hidap Skoliosis Selamat Jalani Pembedahan
Arissa El Zahra, 13, bersama ibu bapanya Noorazlin Zulkifly, 40 dan Reduan Saad, 41 ketika ditemui di Taman Utama Bercham hari ini.

IPOH, 17 Sept (Bernama) -- Remaja perempuan penghidap skoliosis Arissa El Zahra Reduan, 13, kini kembali menikmati kehidupan normal selepas selamat menjalani pembedahan pembetulan tulang belakang di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 8 Sept lepas.

Ibunya Noorazlin Zulkifly, 40, berkata beliau menzahirkan rasa syukur serta penghargaan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan orang ramai yang memberikan sumbangan kewangan bagi membiayai kos pembedahan anak sulung daripada tiga beradik itu.

“Ucapan sama juga saya tujukan kepada orang ramai yang turut menyumbang tanpa henti demi masa depan anak saya. Dengan sokongan anda semua, pembedahan ini berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

 Sebelum ini, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Putra itu disahkan menghidap skoliosis oleh pakar ortopedik HRPB ketika berusia 10 tahun selepas menjalani rawatan pada 5 Jun 2024.

Disebabkan itu, orang ramai termasuk KPM dan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) tampil menghulurkan bantuan kewangan bagi menyelesaikan kos pembedahan yang perlu ditanggung keluarga remaja berkenaan.

Sementara itu, bapanya Reduan Saad, 41, berkata proses pembedahan anak sulungnya itu memakan masa hampir sembilan jam ekoran keadaan struktur tulang belakangnya yang agak kritikal.

“Doktor memaklumkan lengkungan tulang belakang Arissa di bahagian atas berada pada tahap 70 darjah, manakala bahagian bawah pula sudah mencecah 100 darjah serta mengalami keadaan berpintal.

“Alhamdulillah, selepas pembedahan selama sembilan jam bermula 8 pagi, prosedur meluruskan tulang belakang dengan memasukkan skru dan besi khas berjalan dengan selamat,” katanya.

Mengulas mengenai proses pemulihan, Mohd Ridzuan berkata pihak doktor menganggarkan Arissa El Zahra memerlukan tempoh kira-kira dua bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum dibenarkan kembali bersekolah.

“Tempoh dua bulan itu membolehkan dia fokus kepada latihan pergerakan dan menyesuaikan diri. Insya-Allah, jika proses pemulihan berjalan lancar, Arissa dijangka dapat kembali bersekolah pada November ini,” katanya.

Dalam pada itu, Arissa El Zahra meluahkan rasa gembira dan bersyukur apabila pembedahannya berjalan lancar, meskipun mengakui gementar memasuki bilik pembedahan.

“Sebelum masuk ke bilik pembedahan saya memang rasa sangat takut, tetapi saya kuatkan semangat selepas menerima banyak dorongan serta doa daripada guru-guru dan rakan-rakan sekolah.

“Walaupun bahagian belakang badan masih terasa pedih dan sakit-sakit sikit, saya gembira kerana sudah makin sihat dan tidak sabar mahu kembali ke sekolah untuk bertemu rakan-rakan,” katanya.

Arissa El Zahra berkata kesihatan yang kian pulih kini memberi harapan kepadanya untuk kembali aktif dan menyertai pelbagai aktiviti serta kegiatan sekolah, terutamanya bidang sukan.

“Sebelum ini pergerakan saya agak terbatas disebabkan kesakitan pada bahagian belakang, jadi saya tidak dapat aktif bersukan seperti rakan-rakan yang lain.

“Saya harap selepas ini mampu sertai sukan olahraga yang memang minat saya sejak dulu, terutamanya acara larian bila sudah sembuh sepenuhnya nanti,” katanya.

-- BERNAMA