Am 17/09/2026 05:40 PM

Pasaran Getah Ditutup Tinggi Didorong Permintaan Berdaya Tahan Di AS

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pasaran Getah Ditutup Tinggi Didorong Permintaan Berdaya Tahan Di AS

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Khamis, disokong oleh permintaan pengguna yang berdaya tahan di Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran didorong oleh data ekonomi AS yang menggalakkan, dengan jualan runcit meningkat 1.2 peratus pada Ogos dan inventori perniagaan naik 0.8 peratus pada Julai, menunjukkan aktiviti domestik yang kukuh.

Katanya langkah China untuk meningkatkan keupayaan perindustriannya merupakan satu lagi faktor positif bagi sentimen pasaran.

“Langkah China untuk memperkukuh pembuatan termaju boleh menyokong permintaan perindustrian,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya harga minyak mentah yang rendah mengehadkan kenaikan apabila peningkatan bekalan dari Arab Saudi dan kebimbangan yang mereda mengenai bekalan dari Asia Barat mengurangkan risiko gangguan bekalan.

Pada 3 petang, harga SMR 20 naik 19 sen kepada 986 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat lima sen kepada 715 sen sekilogram.

Pasaran getah ditutup pada Rabu, 16 September bersempena dengan Hari Malaysia dan beroperasi semula hari ini.

-- BERNAMA