Oleh Harizah Hanim Mohamed and Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini selepas menempuh sesi dagangan yang tidak menentu susulan kebimbangan terhadap hasil bon Amerika Syarikat (AS) yang kekal tinggi serta kemungkinan Rizab Persekutuan AS (Fed) melaksanakan dasar monetari yang lebih agresif selanjutnya, kata seorang penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.47 mata atau 0.26 peratus kepada 1,674.74 daripada 1,679.21 ketika ditutup pada Selasa.
Bursa Malaysia ditutup untuk dagangan semalam sempena sambutan Hari Malaysia.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.71 mata lebih rendah pada 1,677.50 dan bergerak antara 1,670.75 hingga 1,684.92 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran secara keseluruhan kekal suram dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung, 673 berbanding 465. Sebanyak 548 kaunter tidak berubah, 1,170 kaunter tidak didagangkan dan 13 kaunter digantung.
Jumlah dagangan meningkat sedikit kepada 3.60 bilion unit bernilai RM3.25 bilion daripada 3.34 bilion unit bernilai RM3.25 bilion pada Selasa.
Ketua Penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd Kenneth Leong berkata firma itu mengekalkan kecenderungan berhati-hati terhadap FBM KLCI berikutan hasil Perbendaharaan AS yang kekal tinggi serta kebimbangan berterusan mengenai prospek kadar faedah global.
“Bagaimanapun, penurunan baru-baru ini berpotensi menarik aktiviti pembelian ketika harga rendah apabila indeks utama menghampiri keadaan terlebih jual, khususnya dalam kalangan kaunter yang mempunyai asas kukuh.
“Pelabur juga akan memantau keputusan kadar faedah Bank of Japan dan data inflasi Malaysia yang dijangka dikeluarkan esok bagi mendapatkan petunjuk selanjutnya mengenai prospek dasar monetari serantau dan tekanan harga domestik,” katanya kepada Bernama.
Dari sudut teknikal, Leong berkata indeks utama itu terus menunjukkan aliran menurun, dengan tekanan jualan masih berterusan.
“Paras rintangan terdekat kini pada 1,687 mata, diikuti 1,700 mata, manakala paras sokongan masing-masing pada 1,666 mata dan 1,655 mata,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut enam sen kepada RM10.36, manakala Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing tidak berubah pada RM4.80 dan RM13.32. CIMB turun 11 sen kepada RM7.69, manakala IHH Healthcare susut dua sen kepada RM7.69.
Antara kaunter paling aktif didagangkan, Zetrix AI susut satu sen kepada 24.5 sen, manakala AirAsia merosot 13.5 sen kepada 50.5 sen dan Capital A turun 4.5 sen kepada 23 sen. Kaunter yang baru disenaraikan di Pasaran ACE, Pioneer Heat, meningkat lima sen kepada 30 sen, manakala TWL tidak berubah pada 2.5 sen.
Kaunter untung teratas diterajui Vitrox yang menambah 48 sen kepada RM9.58, diikuti Malaysian Pacific Industries yang meningkat 40 sen kepada RM40.10. Nestle melonjak 34 sen kepada RM90.52, Petronas Dagangan naik 30 sen kepada RM21.08, manakala Allianz meningkat 24 sen kepada RM21.10.
Antara kaunter rugi teratas ialah Hong Leong Bank yang susut 36 sen kepada RM23.10, Petronas Chemicals turun 34 sen kepada RM4.86, F&N merosot 26 sen kepada RM22.86, Hong Leong Financial turun 22 sen kepada RM18.56, manakala Bursa Malaysia susut 18 sen kepada RM8.07.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 susut 8.42 mata kepada 17,607.23, Indeks FBM Emas turun 29.10 mata kepada 12,414.82, manakala Indeks FBM Top 100 merosot 25.85 mata kepada 12,218.94.
Indeks FBM Emas Shariah pula turun 28.55 mata kepada 12,273.87, manakala Indeks FBM ACE meningkat 26.50 mata kepada 5,196.45.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.54 mata kepada 184.86, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 111.48 mata kepada 19,535.92, manakala Indeks Tenaga berkurangan 6.24 mata kepada 815.14. Indeks Perladangan pula merosot 18.92 mata kepada 9,507.28.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.19 bilion unit bernilai RM2.95 bilion daripada 1.86 bilion unit bernilai RM2.93 bilion pada Selasa.
Bagaimanapun, jumlah dagangan waran berkurang kepada 866.66 juta unit bernilai RM108.88 juta daripada 914.50 juta unit bernilai RM131.79 juta sebelumnya.
Sementara itu, jumlah dagangan di Pasaran ACE pula susut kepada 541.67 juta unit bernilai RM192.18 juta daripada 564.82 juta unit bernilai RM196.93 juta pada Selasa.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 553.11 juta saham di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (270.92 juta), pembinaan (125.52 juta), teknologi (533.87 juta), perkhidmatan kewangan (72.25 juta), hartanah (157.28 juta), perladangan (76.20 juta), amanah pelaburan hartanah (27.40 juta), dana tertutup (37,100), tenaga (109.91 juta), penjagaan kesihatan (137.81 juta), telekomunikasi dan media (22.03 juta), pengangkutan dan logistik (43.66 juta), utiliti (63.05 juta) serta amanah perniagaan (69,500).
-- BERNAMA