PETALING JAYA, 17 Sept (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) Manuel Hidalgo layak mewakili pasukan kebangsaan.
Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman berkata persatuan itu menerima pengesahan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai kelayakan Hidalgo semalam.
Noor Azman berkata pemain kelahiran Argentina berusia 27 tahun itu kini boleh disenaraikan mewakili Harimau Malaya untuk kempen Piala ASEAN FIFA di Indonesia pada penghujung bulan ini.
Bagaimanapun, Noor Azman berkata seorang lagi pemain JDT, Shane Lowry masih belum menerima kelulusan daripada badan induk bola sepak dunia itu.
“Berkaitan Hidalgo, kami baru sahaja menerima surat kelulusan daripada FIFA semalam. Senarai skuad Malaysia akan diumumkan dalam masa terdekat, mungkin esok,” katanya pada sidang media selepas Kongres Luar Biasa FAM di sini hari ini.
Kehadiran Hidalgo dijangka menyuntik kekuatan tambahan untuk skuad kebangsaan yang sebelum ini diberikan lampu hijau oleh FIFA untuk menyenaraikan pemain JDT, Bergson da Silva dan Brad Tapp.
Hidalgo yang telah melengkapkan tempoh lima tahun beraksi di Malaysia, memulakan kariernya bersama Sri Pahang pada 2021 sebelum menyertai JDT pada 2024.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai permohonan yang membabitkan pertahanan Kuala Lumpur City FC Giancarlo Gallifuoco, Noor Azman berkata beliau perlu mendapatkan maklumat terperinci mengenai perkara itu terlebih dahulu.
Sebagai rekod, FAM pada Ahad lepas mengumumkan bahawa FIFA telah mengesahkan kelayakan Bergson, 35, dan Tapp, 25, untuk mewakili Malaysia.
Bergson merupakan penyerang kelahiran Brazil yang menyertai JDT pada 2021 dan Tapp pula pemain pertahanan warisan kelahiran Sydney, Australia yang menyertai JDT daripada Central Coast Mariners, Julai lepas.
-- BERNAMA