Am 17/09/2026 05:26 PM

10 NGO Perak Terima Sumbangan Ahli Parlimen Tambun RM117,000

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
10 NGO Perak Terima Sumbangan Ahli Parlimen Tambun RM117,000
Kredit foto: Afiradina Arshad

IPOH, 17 Sept (Bernama) -- Sebanyak 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM117,000, bagi melaksanakan pelbagai kegiatan dan aktiviti kemasyarakatan.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata sumbangan itu, disalurkan berdasarkan permohonan yang dikemukakan setiap pertubuhan berkenaan.

“Kita berharap peruntukan yang diberikan ini dapat dimanfaatkan dan digunakan sebaik mungkin untuk kebaikan masyarakat serta komuniti di kawasan masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Peruntukan Perdana Menteri kepada pelbagai NGO, di sini hari ini.

Antara penerima ialah Pertubuhan Proaktif Rakyat Parlimen Tambun menerima RM25,000 bagi membiayai pelaksanaan Program Kemasyarakatan 2026 dan Kelab Muda Mudi Inspirasi Ulu Kinta menerima RM20,000, bagi pelaksanaan program Rise of Tambun.

Selain itu, Persatuan Penganut Dewi Muthumariamman menerima RM12,000, Surau Kampung Sayong Hilir, Kuala Kangsar (RM8,000) bagi membiayai pelaksanaan Program Jaulah Mahabbah Ukhuwah Fillah 2026, manakala Persatuan Kebajikan Komuniti Penyayang Kuala Kangsar Perak (RM10,000) bagi membiayai pelaksanaan program pertandingan terbuka Kaligrafi Cina Huixiezhongqiu Piala Perak 2026.

Sementara itu, Muhammad Kamil berkata pertemuan dua hala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian selain pemimpin-pemimpin BRICS baru-baru ini, mencerminkan hubungan baik Malaysia dengan negara anggota BRICS.

“Saya boleh katakan kunjungan kali ini sangat berjaya dan kita beroleh banyak manfaat hasil daripada pertemuan, perbincangan, serta hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan negara-negara anggota BRICS yang terlibat,” katanya.

Perdana Menteri mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari India Narendra Modi serta Presiden Rusia Vladimir Putin, semasa lawatan kerja beliau ke India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi pada 11 Sept.

Dalam pada itu, Muhammad Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyelar tindakan sesetengah pemimpin kerajaan, yang mengeluarkan kenyataan politik seolah-olah menyerang Perdana Menteri.

“Saya tidak menafikan terdapat kelompok tertentu yang sengaja cuba mewujudkan ketidakstabilan politik, bagi memenuhi kepentingan dan kehendak kelompok pimpinan tertentu dalam parti masing-masing.

“Namun, kami memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan hari ini, khususnya Perdana Menteri, kekal komited untuk memastikan segala dasar dan perancangan dapat dilaksanakan demi kebaikan serta manfaat rakyat secara keseluruhan,” katanya.

-- BERNAMA