Am 17/09/2026 05:26 PM

LKIM Peruntuk RM1 Juta Setahun Bantuan "Touch Point" Nelayan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
LKIM Peruntuk RM1 Juta Setahun Bantuan
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil (depan, empat, kanan) bergambar kenangan bersama nelayan pada Program Rahmah Mesra MADANI bersama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Melaka Selatan di Pangkalan Nelayan Lereh, Tanjung Kling hari ini.

MELAKA, 17 Sept (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan kira-kira RM1 juta setahun bagi membantu nelayan di seluruh negara mendapatkan peralatan penangkapan ikan menerusi inisiatif touch point dalam usaha meningkatkan produktiviti dan hasil tangkapan.

Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata bantuan itu meliputi peralatan seperti enjin, bot, pukat, pukat tunda, insulasi dan minyak pelincir, selain peruntukan RM3 juta yang disediakan kerajaan melalui belanjawan negara.

“Kita mahu bantu nelayan supaya produktiviti mereka meningkat. Dengan peralatan dan enjin baharu, mereka boleh pergi lebih jauh ke laut untuk mendapatkan hasil yang lebih banyak. 

“Jaring dan bot baharu juga akan memberikan dorongan kepada mereka untuk meningkatkan hasil tangkapan ikan. Itu yang kita harapkan daripada bantuan ini,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Program Rahmah Mesra MADANI bersama Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Melaka Selatan di Pangkalan Nelayan Lereh, Tanjung Kling di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah LKIM Melaka Darleena Baharudin.

Muhammad Faiz berkata menerusi program berkenaan, 31 nelayan kategori B40 menerima bantuan touch point bernilai RM50,000, termasuk sebuah enjin sangkut 40 kuasa kuda, jaring, tong ikan dan minyak enjin 2T.

Beliau berkata maklum balas yang diterima menunjukkan terdapat peningkatan hasil tangkapan dalam kalangan penerima bantuan, sekali gus mendorong LKIM meneruskan inisiatif berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata pada 2025 jumlah keseluruhan pendaratan ikan yang diisytiharkan di Malaysia adalah 644,850,772 kilogram (kg).

Muhammad Faiz berkata Melaka mencatatkan jumlah pendaratan ikan sebanyak 781,302 kg pada 2025, iaitu antara jumlah pendaratan terendah berbanding negeri lain.

“Keadaan ini antaranya disebabkan kawasan laut Melaka yang kecil dan negeri ini bergantung kepada nelayan pesisir pantai Zon A.

“Justeru, kita menggalakkan nelayan di Melaka, khususnya yang terlibat dalam sektor akuakultur, meningkatkan pengeluaran, termasuk menerusi projek penternakan udang di Sebatu, Melaka Barat,” katanya.

Beliau berkata perubahan iklim termasuk taufan dan cuaca panas, sedikit sebanyak telah menjejaskan jumlah pendaratan ikan tempatan, namun bekalan ikan di pasaran masih mencukupi kerana Malaysia turut mengimport ikan bagi spesies tertentu.

-- BERNAMA