KLANG, 17 Sept (Bernama) -- Sektor pencarian dua pemancing yang dilaporkan hilang di One Fathom Bank berdekatan Pulau Ketam di sini, diperluas kepada radius 1,366.2 batu nautika persegi sehingga ke perairan Lumut, Perak.
Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Lt Mohd Syafiq Sazali berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keempat diteruskan pihaknya bersama-sama beberapa agensi penguatkuasaan bermula 7 pagi tadi.
Beliau berkata usaha pencarian meliputi sektor laut dan udara menggunakan lima aset iaitu sebuah Kapal Maritim (KM) Nusa, pesawat CL415MP serta tiga bot peronda termasuk milik Pasukan Polis Marin (PPM).
"Pencarian sektor laut bagi KM Nusa meliputi kawasan seluas 101.2 batu nautika persegi di perairan Bagan Datuk manakala tiga bot bagi 449 batu nautika antara One Fathom Bank ke Tanjong Karang.
"Sektor udara pula meliputi radius pencarian seluas 816 batu nautika di kawasan antara sempadan Selangor hingga ke Lumut," katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Sementa di sini hari ini.
Mohd Syafiq berkata operasi itu disertai 38 pegawai dan anggota termasuk pihak polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain dibantu pasukan Bantuan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Pekan Baru, Indonesia bagi mengesan mangsa di perairan sempadan negara itu.
Beliau berkata operasi dijangka ditangguhkan 7 malam ini sebelum diteruskan semula esok.
Pada Isnin lepas, APMM Selangor melancarkan SAR selepas menerima laporan rasmi berhubung kehilangan tujuh pemancing di One Fathom Bank pada 3.35 pagi.
Empat daripada mereka ditemukan selamat di perairan Sekinchan pada hari kedua operasi sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Hospital Banting untuk rawatan.
Semalam, polis mengesahkan penemuan mayat Mohd Shahril Abd Rahman, 43, di perairan Hutan Melintang, Perak manakala dua lagi yang masih hilang ialah Muhamad Ridzuan Ruhaizat, 37, dan Raja Mohd Rozi Raja Mohamad, 49.
-- BERNAMA