PETALING JAYA, 17 Sept (Bernama) -- Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ab Ghani Hassan mahu memberi tumpuan segera untuk memulihkan keyakinan pemegang taruh dan penyokong, selain memperkukuh tadbir urus badan induk bola sepak negara itu.
Ab Ghani berkata barisan kepimpinan baharu yang dipilih perlu terlebih dahulu meneliti serta menyelesaikan segala perkara dibangkitkan dalam audit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini.
Beliau yang juga Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkata langkah dan perancangan lebih terperinci akan dibentangkan selepas mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM, yang dijadual berlangsung secepat mungkin.
“Dari situ kita akan bergerak untuk pastikan bahawa bola sepak Malaysia ini dalam masa dua tahun setengah, sebaik mungkin kita akan melakukan sesuatu untuk mencari satu perubahan atau pembaharuan dalam bola sepak negara ini.
“Pertamanya ada berlaku krisis keyakinan. Jadi ini kita kena atasi dan untuk meyakinkan kembali semua pemegang taruh dan juga semua penyokong bola sepak dan rakyat Malaysia khususnya,” katanya pada sidang media selepas Kongres Luar Biasa (EGM) FAM Kedua 2026 di sini hari ini.
Ab Ghani berkata beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman serta semua unit dalam badan induk itu sebelum memutuskan sebarang perubahan membabitkan pentadbiran dan sekretariat.
Mengenai Peta Hala Tuju FAM (F:30) yang dilancarkan pada 2018, beliau berkata pelan tindakan itu akan diteruskan, namun boleh ditambah baik mengikut keadaan semasa.
“F:30 ini merupakan satu blueprint yang telah dibuat. Tinggal empat tahun (tahun akhir F:30), mungkin ia akan ditambah baik ataupun sebab keadaan tak sesuai ketika ini seperti semasa F:30 itu dibuat, maka kita perbaikilah. Tapi blueprint dia, petunjuk dia dah ada kat situ,” katanya.
Mengenai skuad Harimau Malaya, Ab Ghani menyifatkan hasrat untuk kembali menguasai pentas ASEAN sebagai antara keutamaan FAM di bawah kepimpinan baharu.
Beliau berkata Malaysia juga perlu terus memasang cita-cita untuk melangkah lebih jauh di peringkat Asia, namun penguasaan di rantau ASEAN perlu dibina semula terlebih dahulu.
“Harapan sama macam dulu-dulu, untuk bola sepak negara kita menduduki peringkat tertinggi di peringkat ASEAN khususnya. Asia ini mungkin kita boleh pergi, tapi di peringkat ASEAN ini kalau boleh kita menguasai ASEAN kembali seperti dulu, insya-Allah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak negara tidak boleh dipikul FAM semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pemegang taruh.
Terdahulu, Ab Ghani diumum Presiden FAM yang baharu selepas memperoleh undi majoriti pada Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi baki penggal 2025-2029.
Pada pemilihan bersempena dengan EGM itu, Ab Ghani memperoleh 20 undi untuk menewaskan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar yang meraih lima undi dalam pertandingan satu lawan satu bagi jawatan presiden.
-- BERNAMA