Am 17/09/2026 02:36 PM

Lebih 30,000 Pengunjung Dijangka Meriahkan BAF 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lebih 30,000 Pengunjung Dijangka Meriahkan BAF 2026

LABUAN, 17 Sept (Bernama) -- Lebih 30,000 pengunjung dijangka memeriahkan Festival Kesenian Borneo (BAF) 2026 dari 25 hingga 27 Sept ini, sekali gus bakal menjadi antara acara seni dan kebudayaan utama di Labuan tahun ini.

Dianjurkan Perbadanan Labuan, festival tiga hari itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kompleks Ujana Kewangan di sini dengan menampilkan pelbagai program seni, kebudayaan dan komuniti yang mengetengahkan warisan kreatif Borneo.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail berkata festival itu dijangka menarik pengunjung dari Labuan, Sabah, Sarawak, Semenanjung, Brunei dan Indonesia, sekali gus merancakkan sektor pelancongan serta ekonomi tempatan.

“Kami menganggarkan lebih 30,000 orang akan mengunjungi Labuan sepanjang festival dan berharap acara ini dapat mewujudkan suasana meriah di seluruh pulau, selain memberi peluang kepada pengunjung menikmati kekayaan seni dan budaya Borneo,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata antara tarikan utama BAF 2026 ialah Tarian Kreatif Borneo, Tingkah Geruh Dance Battle, Jogethon, Pertandingan Reka Bentuk Fesyen Kostum Kreatif Kebangsaan dan pertandingan instrumental solo Sound of Borneo.

Festival itu turut menampilkan persembahan artis jemputan, pameran dan bengkel seni visual, jualan kraf tangan Borneo, pasar artisan serta Hari Pelanggan Perbadanan Labuan.

Rithuan berkata BAF bukan sekadar mengetengahkan persembahan seni, malah menjadi platform untuk mempromosikan bakat tempatan, menghimpunkan komuniti serta membuka peluang ekonomi kepada peniaga, pengusaha kraf tangan dan pemain industri pelancongan.

“Kami berharap limpahan pengunjung dapat memberi manfaat kepada hotel, restoran, pengusaha pengangkutan, peruncit dan perniagaan tempatan lain,” katanya.

Beliau berkata festival itu juga diharap dapat mengukuhkan kedudukan Labuan sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya dan acara, selain menggalakkan interaksi antara komuniti dari seluruh Borneo.

Majlis penutupan BAF 2026 pada 27 Sept dijadual akan disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

-- BERNAMA