KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Rakyat Malaysia perlu terus memperkukuh rasa kepunyaan dan identiti bersama dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang kukuh, dengan kepentingan negara mengatasi perbezaan kaum, agama dan wilayah.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2026, rakyat juga diseru untuk terus saling menghormati, berkongsi nilai bersama serta memelihara perpaduan dan keharmonian yang menjadi asas keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara.
“Selepas 63 tahun, kepelbagaian kaum, agama, budaya, bahasa dan adat yang ada di Malaysia terus menjadi khazanah dan kekuatan negara. Dari Semenanjung hingga Sabah dan Sarawak, setiap komuniti menyumbang kepada wajah Malaysia yang unik dan kaya.
“Namun, di sebalik segala perbezaan, kita berkongsi satu identiti yang sama, kita rakyat Malaysia. Perkongsian identiti inilah yang menjadi teras kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Aaron berkata di sebalik kepelbagaian itu, seluruh rakyat berkongsi satu identiti yang sama sebagai rakyat Malaysia, sekali gus menjadi asas penting dalam membina masa depan negara secara bersama.
Pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963 adalah hasil proses rundingan dan persefahaman yang bermula dengan gagasan dikemukakan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 1961 sebelum diteruskan menerusi Suruhanjaya Cobbold, Jawatankuasa Antara Kerajaan serta beberapa siri rundingan.
Proses itu turut melibatkan tokoh antaranya Tun Abdul Razak Hussein, Tun Fuad Stephens, Tun Datu Mustapha Datu Harun, Temenggong Jugah Anak Barieng dan Stephen Kalong Ningkan, dengan sumbangan mereka menjadi antara asas pembentukan negara.
“Selamat Hari Malaysia 2026. Malaysia milik kita bersama dan Malaysia tanggungjawab kita bersama,” katanya.
-- BERNAMA