KUALA TERENGGANU, 15 Sept (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengarahkan semua sekolah di negeri itu menangguhkan sebarang aktiviti luar berkuat kuasa serta-merta.
Pengarah JPNT Kamsah@Kamal Mohamed berkata ia susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang melebihi 150 di tiga stesen iaitu Paka, Kuala Terengganu dan Kemaman.
Beliau berkata aktiviti yang ditangguhkan termasuk program sukan, kokurikulum, pendidikan jasmani, perkhemahan, lawatan, rekreasi dan aktiviti air sehingga tempoh yang akan dimaklumkan.
"Sebagai langkah keselamatan kita arahkan semua aktiviti luar ditangguhkan sehingga kualiti udara kembali pada tahap selamat.
"Pihak sekolah perlu sentiasa memantau bacaan IPU serta perkembangan udara semasa menerusi sumber rasmi yang berkaitan. Sekiranya terdapat murid atau warga sekolah yang mengalami gejala tidak sihat, tindakan segera perlu diambil seperti rawatan sewajarnya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Kamsah berkata pihak sekolah juga perlu memastikan pelajar sentiasa berada di dalam bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada udara luar, terutama yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan pernafasan.
Beliau berkata pihaknya telah memaklumkan arahan tersebut kepada semua pihak termasuk ibu bapa dan penjaga bagi memastikan mereka peka dengan perkembangan semasa.
"Arahan itu selaras dengan Surat Siaran Kementerian Pendidikan (KPM) Bilangan 1 Tahun 2019 berkaitan langkah-langkah menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu dan dianggap kritikal.
"Semua pihak hendaklah mematuhi arahan serta panduan yang dikeluarkan KPM, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing dari semasa ke semasa," katanya.
-- BERNAMA