Am 15/09/2026 11:38 PM

Malaysia, Maldives Perkukuh Kerjasama Parlimen Menerusi Platform Komanwel

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malaysia, Maldives Perkukuh Kerjasama Parlimen Menerusi Platform Komanwel
fb Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Malaysia dan Maldives mempunyai ruang luas untuk memperkukuh kerjasama Parlimen termasuk menerusi pertukaran lawatan, perkongsian pengalaman dan platform Persatuan Parlimen Komanwel, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sebagai negara anggota Komanwel, Malaysia dan Maldives memiliki ruang luas untuk saling menimba pengalaman dalam memperkukuh institusi, memantapkan tatakelola serta meningkatkan keupayaan sektor awam

Anwar berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas menerima kunjungan hormat Yang Dipertua Majlis Rakyat Maldives Abdul Raheem Abdulla semasa lawatan rasmi dua hari ke negara itu.

Semasa lawatan itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Maldives bagi memperluas kerjasama dalam bidang strategik termasuk pendidikan, pertahanan, perdagangan, pelaburan, pelancongan, industri halal dan ekonomi digital.

Perdana Menteri berkata pertemuan beliau dengan Naib Presiden Maldives Hussain Mohamed Latheef turut membincangkan usaha memperluas kerjasama dalam bidang pengajian tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan profesional serta pembangunan modal insan.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Negeri Maldives Iruthisham Adam bagi bertukar pandangan mengenai momentum positif hubungan dua hala.

Anwar menggalakkan pegawai dan komuniti perniagaan kedua-dua negara mengenal pasti peluang khusus dalam perdagangan dan pelaburan, pelancongan, industri halal serta ekonomi digital supaya hubungan baik itu dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata.

Perdana Menteri berkata kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperkukuh ketahanan iklim dan agenda pembangunan mampan dengan mengambil kira cabaran khusus Maldives sebagai sebuah negara kepulauan kecil yang sedang membangun.

Anwar berkata beliau akan terus bekerjasama dengan Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu dan kerajaan negara itu bagi memperkukuh hubungan kedua-dua negara.

Beliau berlepas pulang ke tanah air hari ini selepas mengakhiri lawatan rasmi dua hari ke Maldives atas undangan Mohamed, yang juga kunjungan sulung beliau ke republik kepulauan Lautan Hindi itu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.

Delegasi Malaysia turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives Badli Hisham Adam.

Malaysia dan Maldives menjalin hubungan diplomatik sejak 1968.

-- BERNAMA