SEREMBAN, 15 Sept (Bernama) -- Perpaduan rakyat menjadi tunjang kekuatan Malaysia manakala kepelbagaian warisan, budaya dan identiti Negeri Sembilan perlu diterjemahkan sebagai kekuatan ekonomi menerusi Tahun Melawat Negeri Sembilan (TMNS) 2026.
Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata sambutan Hari Malaysia bukan sekadar acara memperingati pembentukan negara sebaliknya menjadi wadah untuk menghayati nikmat perpaduan dan menyemarakkan semangat cinta akan tanah air.
“Hari Malaysia mengingatkan kita bahawa negara ini dibina atas kekuatan rakyat yang berbeza latar belakang, kaum, agama, budaya dan adat... perbezaan bukan alasan untuk kita berpecah sebaliknya perbezaan inilah menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik,” katanya ketika berucap pada sambutan Ambang Hari Malaysia 2026 di sini malam ini.
Ismail berkata keharmonian yang dinikmati rakyat perlu dipertahankan dengan membudayakan sikap saling memahami, menghormati dan menghargai antara satu sama lain khususnya dalam mendepani cabaran semasa.
Dalam pada itu, beliau berkata kepelbagaian yang dimiliki Negeri Sembilan merangkumi warisan dan sejarah, keindahan alam semula jadi serta pantai, gastronomi, seni dan budaya merupakan aset penting yang mampu memperkukuh daya tarikan pelancongan negeri.
Ismail berkata tahun ini lebih penting apabila kerajaan negeri kembali melaksanakan TMNS selepas 27 tahun dengan matlamat memperkenal dan menjenamakan Negeri Sembilan secara lebih agresif dalam industri pelancongan.
“TMNS bukan sekadar kempen untuk menarik pelancong datang ke Negeri Sembilan... lebih besar daripada itu, kita mahu menjadikan pelancongan sebagai pemangkin ekonomi negeri dan sumber manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata kemasukan pelancong ke Negeri Sembilan mampu mewujudkan limpahan ekonomi kepada pelbagai lapisan masyarakat menerusi perbelanjaan di hotel, inap desa, restoran, gerai tempatan, pengangkutan, premis pelancongan dan pembelian produk usahawan negeri.
Ismail berkata manfaat itu membuktikan bahawa pelancongan tidak boleh dilihat sebagai agenda kerajaan negeri semata-mata sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak.
“Oleh itu, saya mahu semua mengambil peluang TMNS 2026... jangan kita melihat pelancongan sebagai agenda kerajaan negeri semata-mata... pelancongan ialah agenda bersama,” katanya.
Beliau menyeru pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, pemain industri, pengusaha hotel dan inap desa, usahawan, golongan belia dan seluruh masyarakat supaya memainkan peranan masing-masing bagi memastikan TMNS 2026 mencapai matlamatnya.
Ismail turut menekankan peranan golongan belia sebagai pewaris generasi dalam menghayati sejarah, adat, budaya dan identiti negeri selain menjadi duta kecil pelancongan untuk mempromosikan Negeri Sembilan.
Beliau berkata penghayatan terhadap warisan dan budaya tempatan bukan sahaja penting untuk memelihara jati diri generasi muda malah berpotensi memperluas daya tarikan pelancongan negeri melalui penglibatan aktif mereka.
Terdahulu, lebih 5,000 peserta menyertai Nismilan Neon Walk yang bermula pada 9 malam membabitkan laluan sepanjang 3.8 kilometer manakala sambutan Ambang Hari Malaysia 2026 peringkat Negeri Sembilan dimeriahkan dengan kehadiran hampir 8,000 pengunjung secara keseluruhan.
Pengunjung turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan artis dan kebudayaan selain disajikan pertunjukan bunga api sebagai acara kemuncak sambutan.
-- BERNAMA