Dunia 15/09/2026 11:10 PM

Arab Saudi Keluar Amaran "Potensi Bahaya" Di Jeddah, Makkah, Taif

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Arab Saudi Keluar Amaran
Bandar Jeddah mempunyai sejarah yang panjang. Dari sebuah perkampungan nelayan yang kecil ia berkembang menjadi sebuah kota pelabuhan yang penting semasa pemerintahan Khalifah Othman bin Affan. Peninggalan sejarah silam bandar ini masih kekal hingga ke hari ini. Pemandangan kota lama Jeddah ini dapat dilihat dari atas bumbung rumah yang menjadi kediaman Al-Marhum Raja Abdul Aziz pada tahun 1924.--fotoBERNAMA HAKCIPTA TERPELIHARA

ISTANBUL, 15 Sept (Bernama-Anadolu) -- Arab Saudi pada Selasa mengeluarkan amaran kecemasan mengenai “potensi bahaya” di Jeddah, Makkah dan Taif di barat negara itu, sambil menggesa penduduk berlindung dan mematuhi arahan keselamatan rasmi, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut Pertahanan Awam Arab Saudi, amaran itu dikeluarkan menerusi Platform Amaran Awal Nasional bagi Kecemasan.

Pertahanan Awam Arab Saudi kemudian menerusi hantaran di X memaklumkan bahawa “bahaya telah berlalu”, sambil menggesa orang ramai supaya tidak berhimpun dan merakam kejadian.

Pihak berkuasa tidak memperincikan bentuk potensi bahaya berkenaan, menurut Anadolu.

Menerusi amaran itu, penduduk digesa supaya bertenang dan segera menuju ke tempat selamat terdekat, sebaik-baiknya di dalam bangunan atau bilik bahagian dalam yang jauh dari tingkap, serta kekal berada di situ sehingga bahaya berlalu.

Pertahanan Awam turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan terbuka, tingkap, balkoni dan bumbung bangunan, manakala mereka yang berada di luar diminta memasuki bangunan terdekat atau berlindung di sebalik penghadang kukuh.

Pemandu yang menerima amaran itu diarahkan berhenti di tempat selamat yang jauh dari jambatan dan bangunan tinggi, manakala orang ramai digesa mengelakkan kawasan tumpuan serta lokasi berbahaya dan mematuhi arahan menerusi saluran rasmi.

Amaran itu dikeluarkan ketika pertempuran antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi semakin memuncak, dengan kumpulan itu melancarkan beberapa serangan peluru berpandu dan dron terhadap bandar serta infrastruktur Arab Saudi sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Tentera Arab Saudi bertindak balas dengan melancarkan serangan terhadap kedudukan Houthi di Yaman.

-- BERNAMA-ANADOLU