Am 15/09/2026 11:10 PM

Pemangku Raja Terengganu Berkenan Hadiri Majlis Graduasi SPAIT

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pemangku Raja Terengganu Berkenan Hadiri Majlis Graduasi SPAIT
Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin (kiri) berkenan menyampaikan sijil pada Majlis Graduasi Program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA NERUS, 15 Sept (Bernama) -- Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan berangkat ke Majlis Graduasi Program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini hari ini.

Baginda turut berkenan menyampaikan sijil kepada 356 graduan termasuk dua penuntut terbaik keseluruhan dan enam penuntut terbaik subjek fiqah, tasawuf dan tauhid.

Dalam titah baginda, Tengku Muhammad Ismail mengucapkan tahniah dan syabas kepada 356 penuntut kumpulan ketiga SPAIT 2026 yang berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh enam tahun.

"Beta percaya detik bersejarah ini bukan sahaja menjadi kebanggaan para graduan, malah turut dikongsi dengan penuh rasa syukur dan kegembiraan oleh ahli keluarga yang telah menjadi sumber dorongan serta sokongan sepanjang tempoh pengajian.

"Oleh itu, beta merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh graduan atas kejayaan yang telah dicapai. Tidak dilupakan penghargaan kepada pengerusi, ahli jawatankuasa majlis serta seluruh agensi yang berganding bahu menjayakan penganjuran majlis graduasi ini," titah baginda.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Datuk M.Rozi Bidin. 

SPAIT mula diperkenalkan oleh JHEAT dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pada 2011 dalam usaha mewujudkan platform khas pembelajaran agama Islam secara lebih formal serta tersusun kepada masyarakat Terengganu yang berusia 25 tahun ke atas.

Tahap pembelajaran pula dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu ibtida (permulaan), mutawassit (pertengahan) dan mutaqaddim (lanjutan) yang mengambil masa selama enam tahun untuk ditamatkan.          

-- BERNAMA