Dunia 15/09/2026 10:45 PM

Filipina Gesa ASEAN Jangka Risiko, Bertindak Sebelum Bencana

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Filipina Gesa ASEAN Jangka Risiko, Bertindak Sebelum Bencana

MANILA, 15 Sept (Bernama-PNA) -- Filipina menggesa negara anggota ASEAN memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana, menambah baik sistem amaran awal dan meningkatkan kerjasama serantau ketika bencana semakin kerap berlaku, saling berkait dan mengakibatkan kos lebih tinggi di seluruh Asia Tenggara, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Semasa Persidangan Menteri-Menteri ASEAN mengenai Daya Tahan Bencana (AMCDR) yang berlangsung di Pasay City pada Selasa, Presiden Ferdinand R. Marcos menerusi amanat yang dibacakan Setiausaha Eksekutif Ralph Recto berkata bencana tidak mengenal sempadan dan menggesa negara ASEAN menyelaraskan tindak balas merentas sempadan.

“Ketika kita berhimpun bagi Persidangan Menteri-Menteri ASEAN mengenai Daya Tahan Bencana, kita diingatkan bahawa bencana tidak mengenal sempadan. Dalam rantau yang saling terhubung seperti kita, tindak balas kita juga tidak boleh terhenti di sempadan masing-masing,” katanya.

“Tahun ini menandakan 20 tahun Perjanjian ASEAN mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan atau AADMER. Pencapaian ini bukan sahaja mengiktiraf kerjasama antara negara anggota ASEAN sepanjang beberapa dekad lepas dalam mengurangkan risiko yang bakal berlaku, memperkukuh kesiapsiagaan dan bertindak balas terhadap kecemasan ketika berdepan bencana, malah memberi peluang untuk kita melihat ke hadapan,” katanya.

Marcos berkata ASEAN kekal sebagai rantau paling terdedah kepada bencana di dunia dan menarik perhatian terhadap jurang dalam aspek pengetahuan, komunikasi, pengesanan bahaya serta keupayaan pemantauan dalam kalangan negara anggota.

Beliau berkata Filipina terus menggesa supaya sistem pengurusan bencana ASEAN yang lebih kukuh dan terselaras diwujudkan, termasuk cadangan Protokol Strategik Manila-ASEAN bagi Transformasi Kecemasan dan Komprehensif atau Manila ASPECT, untuk menambah baik tindak balas dan penyelarasan bencana.

Presiden itu turut merujuk Agenda ASEAN Berdaya Tahan, Inovatif, Mampan dan Diperkasa (RISE), yang memberi tumpuan kepada daya tahan keluarga, sokongan kepada golongan muda serta pembangunan inklusif bagi komuniti rentan.

Marcos menggariskan lima keutamaan dalam usaha ASEAN memperkukuh daya tahan terhadap bencana, termasuk meningkatkan keupayaan menjangka risiko dan bertindak sebelum bencana berlaku, memastikan komitmen serantau dilaksanakan hingga ke peringkat komuniti, membuat persediaan bagi pemulihan sebelum bencana, menggunakan teknologi baharu secara bertanggungjawab serta menjadikan daya tahan sebagai tanggungjawab bersama.

Beliau berkata Filipina telah mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan keupayaan negara itu bertindak sebelum bencana berlaku.

-- BERNAMA-PNA