ISKANDAR PUTERI, 15 Sept (Bernama) -- Johor Darul Ta'zim (JDT) terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas terikat 1-1 dengan kelab Thailand, Buriram United dalam aksi pembukaan Zon Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2026/2027 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.
Dalam aksi berintensiti tinggi itu, tuan rumah terlebih dahulu melancarkan serangan bertali arus pada babak pertama.
JDT berpeluang membuka tirai jaringan menerusi Oscar Arribas, namun gol berkenaan dibatalkan oleh pengadil Majed Alshamrani susulan kekasaran pemain tengah itu terhadap penjaga gol Buriram United, Neil Etheridge.
Bagaimanapun, Arribas tidak menunggu lama apabila berjaya meletakkan JDT di depan pada minit ke-26 menerusi rembatan dari dalam kotak penalti hasil hantaran Marcos Guilherme.
Buriram United hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-38 menerusi rembatan Guilherme Bissoli Campos, namun penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi, tangkas menepis percubaan berkenaan.
Pasukan pelawat akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-43 menerusi Stefan Schimmer yang menyempurnakan hantaran Darlan Pereira Mendes untuk menjadikan kedudukan 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Xisco Munoz terus memperkemaskan asakan, namun dua peluang menerusi Bergson Da Silva pada minit ke-49 dan Guilherme pada minit ke-55 gagal diterjemahkan kepada gol.
Buriram United terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kapten pasukan, Ken Dougall, dilayangkan kad merah pada minit ke-57 kerana mengasari Nacho Mendez.
Dougall sebelum itu menerima kad kuning pertama pada minit ke-34 selepas menjatuhkan Arif Aiman Mohd Hanapi.
Walaupun kekurangan seorang pemain, anak buah Mario Fernando hampir mendahului menerusi sepakan percuma Bissoli Campos pada minit ke-65, namun percubaannya dinafikan kecekapan Syihan Hazmi.
JDT berpeluang cerah untuk kembali mendahului selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-82 susulan kekasaran Mancha terhadap Arif Aiman dalam kotak penalti, yang disahkan menerusi semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Bagaimanapun, sepakan penalti yang diambil Bergson pada minit ke-87 berjaya ditepis Etheridge.
Tuan rumah turut berdepan detik cemas apabila pemain pertahanan, Eddy Silvestre Israfilov, dilayangkan kad merah terus pada minit ke-90 kerana mengasari Alexandru Tudorie.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga tiupan wisel penamat, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan membawa pulang satu mata masing-masing dalam aksi pembukaan kempen Zon Timur ACLE musim ini.
--BERNAMA