Am 15/09/2026 10:55 PM

Kanak-kanak Lemas Di Kulim: Saifuddin Nasution Ucap Takziah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kanak-kanak Lemas Di Kulim: Saifuddin Nasution Ucap Takziah
Kredit : FB Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga empat kanak-kanak yang lemas di Sungai Karangan, Kulim, Kedah, semalam. 

Beliau menyifatkan tragedi yang meragut nyawa kanak-kanak itu sebagai satu insiden yang meruntun hati serta meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa

“Lebih memilukan, dua daripada mereka merupakan adik-beradik dan berdasarkan maklumat awal yang saya terima, bapa mereka merupakan warga kerja Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini. 

Saifuddin Nasution berkata pegawai yang mewakili beliau telah hadir menyantuni keluarga mangsa malam tadi untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

Beliau dan seluruh warga Kementerian Dalam Negeri turut mendoakan agar keluarga mangsa dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian berat itu.

“Tiada kata yang mampu menggambarkan beratnya kehilangan seorang anak, apatah lagi dalam keadaan yang begitu tidak diduga. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada seluruh keluarga menghadapi ujian berat ini, serta menempatkan keempat-empat anak syurga ini dalam rahmat dan kasih sayang-Nya,” katanya. 

Bernama sebelum ini melaporkan, Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, dan adik tirinya, Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8, serta rakan mereka, Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10, lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di taman berkenaan ketika cuba mengambil bola, petang semalam.

-- BERNAMA