KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian Malaysia untuk tidak membenarkan negara ini dijadikan sebagai laluan transit bagi sebarang kargo yang menyumbang kepada operasi ketenteraan Israel.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun X, beliau berkata Malaysia kekal dengan pendirian yang jelas dan tegas dalam memastikan bahawa negara tidak menyokong sebarang bentuk tindakan ketenteraan atau pencerobohan yang boleh mengancam nyawa orang awam.
"Pendirian Malaysia adalah jelas dan tegas. Kami tidak akan membenarkan negara ini digunakan sebagai laluan bagi sebarang penghantaran yang menyokong atau menyumbang kepada keupayaan ketenteraan Israel serta kekejamannya terhadap rakyat Palestin dan nyawa orang yang tidak berdosa.
"Sebarang penghantaran yang mencurigakan akan tertakluk kepada pemeriksaan dan siasatan mengikut undang-undang Malaysia. Sekiranya berlaku pelanggaran, tindakan tegas akan diambil," kata beliau.
Kenyataan Perdana Menteri itu dikeluarkan susulan laporan media asing yang menyoroti tahap penelitian baharu terhadap penghantaran kargo ke Israel.
-- BERNAMA