Am 15/09/2026 09:49 PM

Penguatkuasaan Pemasangan SLD Retrofit Ditangguh, Tarikh Baharu Akan Diumumkan - JPJ

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penguatkuasaan Pemasangan SLD Retrofit Ditangguh, Tarikh Baharu Akan Diumumkan - JPJ
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Misuari Abdullah pada sesi taklimat dan demonstrasi pemasangan SLD di Bogam Corporation Sdn Bhd di sini, hari ini.

KOTA BHARU, 15 Sept (Bernama) -- Penguatkuasaan pemasangan peranti had kelajuan (SLD) secara retrofit bagi kenderaan yang tidak dilengkapi peranti itu ditangguhkan untuk memberi ruang kepada pihak industri dan pemilik kenderaan membuat persediaan teknikal, kewangan serta operasi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata tarikh baharu penguatkuasaan fasa ketiga itu akan diumumkan kemudian.

“Fasa ketiga melibatkan pemasangan SLD secara retrofit yang mendapat pengesahan JPJ bagi kenderaan yang tidak dilengkapi sistem berkenaan, termasuk semua kenderaan rebuilt dan import terpakai.

“Tarikh penguatkuasaan fasa ketiga yang sebelum ini ditetapkan pada 1 Julai 2026 ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak bagi memberi ruang kepada pihak industri dan pemilik kenderaan membuat persediaan teknikal, kewangan dan operasi,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat dan demonstrasi pemasangan SLD di Bogam Corporation Sdn Bhd di sini, hari ini.

Beliau berkata JPJ Kelantan turut melantik tujuh bengkel kejuruteraan pemasangan SLD, masing-masing enam di Kota Bharu dan satu di Tanah Merah, bagi memastikan pemasangan serta pengesahan peranti itu mematuhi spesifikasi dan piawaian ditetapkan.

Beliau berkata bengkel terlibat ialah Soon Seng Motors Enterprise (1988) Sdn Bhd, Bogam Corporation Sdn Bhd, Scania (Malaysia) Sdn Bhd (Kota Bharu), Leang Seng Motors (1980) Sdn Bhd dan T.E.C United Auto Sdn Bhd yang mempunyai dua lokasi di Kota Bharu serta satu di Tanah Merah.

Mohd Misuari berkata pelaksanaan SLD dibuat secara berperingkat menerusi tiga fasa, dengan fasa pertama membabitkan pengesahan kefungsian peranti bagi kenderaan yang dibina selepas 1 Jan 2015.

Kenderaan itu termasuk kenderaan barangan dengan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 3,500 kilogram serta bas tertentu.

Katanya fasa kedua yang berkuat kuasa 1 Jan 2026 melibatkan pengaktifan fungsi pengehad kelajuan dalam Unit Kawalan Elektronik (ECU) bagi kenderaan yang dibina sebelum 1 Jan 2015.

“Had kelajuan SLD ditetapkan pada 90 kilometer sejam bagi kategori kenderaan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata penggunaan peranti itu bertujuan membantu mengawal kelajuan sekali gus mengurangkan risiko dan keterukan kemalangan, khususnya yang membabitkan kenderaan perdagangan dan kenderaan berat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemilik dan pengusaha kenderaan perdagangan supaya mendapatkan maklumat serta membuat persediaan awal menerusi bengkel kejuruteraan yang dilantik JPJ.

-- BERNAMA