Dunia 07/09/2026 10:16 PM

Malang Tidak Berbau, Daftar e-Konsular Bak Sediakan Payung Sebelum Hujan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Malang Tidak Berbau, Daftar e-Konsular Bak Sediakan Payung Sebelum Hujan
Pasport Malaysia

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Perkembangan yang berlaku di seluruh dunia mutakhir ini, ekoran bencana alam dan situasi geopolitik, meningkatkan keperluan rakyat Malaysia untuk mendaftar dalam sistem e-Konsular Kementerian Luar (KLN) bagi memaklumkan keberadaan mereka.

Sebagai contoh, ketika banjir besar berlaku di Nepal bulan lepas, maklumat mengenai rakyat Malaysia hanya diperoleh daripada waris di tanah air dan agensi pelancongan yang digunakan rakyat Malaysia untuk ke negara itu.

Sistem e-Konsular  membantu pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di seluruh dunia menyalurkan bantuan dengan lebih pantas sekiranya berlaku kecemasan.

Pendaftaran boleh dilakukan di https://ekonsular.kln.gov.my/login atau muat turun aplikasi e-Konsular melalui kod respons pantas (QR).

Menurut laman sesawang ekonsular.kln.gov.my, pendaftaran rakyat Malaysia di luar negara  bertujuan merekodkan maklumat keberadaan rakyat Malaysia di luar negara secara sistematik.

Bantuan konsular bagi rakyat Malaysia di luar negara merupakan  satu daripada usaha Kementerian Luar untuk memastikan kebajikan mereka terjamin dalam apa jua keadaan dan situasi. 

Ia merangkumi kematian, penahanan, dan kehilangan rakyat Malaysia di luar negara; deposit wang oleh ahli keluarga ke luar negara untuk rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular; serta lain-lain situasi bencana dan kecemasan. 

Tinjauan di Threads mendapati ramai pengguna rakyat Malaysia berkongsi pengalaman mengenai pendaftaran di e-Konsular ketika berada di luar negara.

Pengguna icecoffeeonearth menyarankan supaya rakyat Malaysia menghantar e-mel kepada Kedutaan Malaysia di negara yang dikunjungi jika aplikasi e-Konsular tidak dapat diakses. 

Pengguna Threads solehahtravel pula berpendapat bahawa walaupun tidak diwajibkan, sekurang-kurangnya dengan mendaftar di e-Konsular, rakyat Malaysia sudah memudahkan urusan dengan pihak berwajib.

“Malang tidak berbau…,” katanya. 

-- BERNAMA