PULAU PINANG, 7 Sept (Bernama) — Atas semangat patriotisme negara, seramai 23 bekas pelajar Darjah 6A Sekolah Kebangsaan Francis Light, Pulau Pinang, kembali bertemu selepas 47 tahun meninggalkan alam persekolahan.
Pertemuan pada 5 Sept lalu, menjadi ruang mengubat rindu dan mengimbau kembali kenangan pahit manis zaman persekolahan pada tahun 1979.
Bekas murid sekolah itu, Nazam Yusuff, 59, berkata suasana penuh dengan gelak ketawa, kemesraan dan rasa terharu, terutama bila bercerita tentang insiden dalam kelas, ketika aktiviti luar darjah, kenangan bersama guru, juga mereka yang pergi terlebih dahulu.
“Menariknya, tiada jurang antara kaum, latar belakang mahupun status walaupun ada yang berjaya memegang jawatan tinggi dengan gelaran Datuk, Doktor Pakar, Usahawan, Ahli Korporat, Perunding, Pengarang Eksekutif, Peguam malah ada yang bergelar artis.
“Ia menjadi lebih bermakna kerana pertemuan diadakan di sekolah tempat mereka belajar dari darjah 1 hingga ke darjah 6 (1974-1979),” katanya kepada Bernama.
Dewan sekolah menjadi riuh seketika, dan kesemua bekas pelajar sempat melawat bilik darjah lama dan kemudiannya menjamu selera di kantin sekolah.
Hampir lima dekad berlalu, namun persahabatan atas semangat Malaysia dan kenangan Darjah 6A 1979 tetap segar dalam ingatan, kata Nazam.
“Kami bertemu bukan sekadar untuk mengenang masa lalu, tetapi untuk mengeratkan kembali persahabatan yang pernah terjalin sesuai dengan sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 16 Sept nanti. Kami juga dapat mengikuti perkembangan kehidupan sesama kami,” katanya.
Ada juga yang membawa keluarga bersama, dan dengan bangga sekali menceritakan apa yang dilalui pada zaman persekolahan era 70an, ujarnya.
— BERNAMA