Dunia 07/09/2026 11:57 PM

Lebih 3,000 Raikan Warna, Rasa, Warisan Malaysia Pada Karnival Malaysia Di United Kingdom

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lebih 3,000 Raikan Warna, Rasa, Warisan Malaysia Pada Karnival Malaysia Di United Kingdom
Karnival Malaysia 2026 menarik kehadiran lebih 3,000 pengunjung dari seluruh United Kingdom ke Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Hertfordshire pada Sabtu. Kredit: High Commission of Malaysia, London / Facebook

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Sambutan meriah yang mengetengahkan warna, rasa, warisan dan semangat kemasyarakatan Malaysia pada Karnival Malaysia 2026 menarik kehadiran lebih 3,000 pengunjung dari seluruh United Kingdom ke Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Hertfordshire pada Sabtu.

Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar merasmikan acara anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London itu dengan menyampaikan mesej yang meraikan semangat bersama, kepelbagaian dan warisan yang menghubungkan rakyat Malaysia dan rakan-rakan Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Tinggi itu memaklumkan semangat “Kesejahteraan Dinikmati” terjelma menerusi karnival berkenaan dengan tindakan mudah namun bermakna yang menghimpunkan orang ramai.

"Makanan dikongsi, tradisi diraikan, pelbagai generasi mengambil bahagian dan hubungan baharu terjalin, mencerminkan visi kesejahteraan yang melangkaui kemakmuran dengan merangkumi komuniti, keterangkuman dan kegembiraan bersama.

"Kehadiran pengunjung yang luar biasa dari seluruh UK dan luar UK menunjukkan daya tarikan berkekalan budaya Malaysia serta kekuatan hubungan antara Malaysia dan rakan-rakannya di United Kingdom,” menurut kenyataan itu.

Antara tarikan utama ialah perkampungan makanan Malaysia yang menampilkan lebih 30 peniaga yang menyajikan hidangan popular termasuk nasi lemak, sate dan kuih tradisional. Pengunjung turut berpeluang menikmati durian yang dibawa dari Malaysia.

Karnival itu turut menampilkan seni persembahan Malaysia yang kaya, dimulakan dengan persembahan alat muzik tradisional dan kesenian rakyat seperti kompang dan dikir barat, disusuli lagu tradisional Malaysia serta demonstrasi Silat Seni Gayong yang penuh bertenaga, sekali gus menyerlahkan warisan seni mempertahankan diri negara yang terus hidup dan diamalkan.

-- BERNAMA