Am 07/09/2026 11:49 PM

Lelaki Ditahan Simpan Petrol Untuk Urus Niaga Tidak Sah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lelaki Ditahan Simpan Petrol Untuk Urus Niaga Tidak Sah
Hanif Yusabra Yusuf

KOTA BHARU, 7 Sept (Bernama) -- Tindakan seorang lelaki berusia 44 tahun yang menyimpan 434 liter petrol untuk urus niaga secara runcit atau borong tanpa lesen sah membawa padah apabila ditahan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan.

Pengarah KPDN Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata suspek ditahan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Telaga Mas, Pasir Mas, dalam operasi 11.15 malam, 5 Sept yang dijalankan sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Pasir Mas dengan kerjasama Unit Risikan dan Tindakan Khas (URTK) KPDN Kota Bharu.

“Serbuan dilakukan selepas pihak kami menjalankan risikan dan pemantauan terhadap premis berkenaan sebelum pemeriksaan lanjut menemukan petrol berkenaan, yang dipercayai disimpan tanpa lesen sah. Kita percaya barang kawalan tersebut bagi tujuan urus niaga secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain petrol, pihaknya turut menyita sebuah kereta Proton Waja bernombor pendaftaran tempatan, satu unit alat penimbang serta satu set pam penyedut minyak bersama hos dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM6,836.18.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Pasir Mas semalam untuk permohonan reman dan Majistret Syed Farid Syed Ali membenarkan suspek direman selama empat hari bermula 6 hingga 9 Sept bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

-- BERNAMA