SHAH ALAM, 7 Sept (Bernama) -- Kontinjen Sabah terus mendominasi saingan para olahraga Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Selangor 2026 selepas meraih 14 pingat emas di Stadium UiTM Shah Alam di sini, hari ini.
Antara penyumbang emas ialah Eljoe Gotuoh yang mengungguli acara lompat kijang T20 lelaki (kecacatan intelektual) dengan lompatan sejauh 13.95 meter (m), manakala Hazmi Bistani menjuarai rejam lembing F12 lelaki (kecacatan fizikal) menerusi catatan 30.24m.
Connie Zeno pula muncul juara lontar peluru F40 wanita (kecacatan fizikal) selepas melakukan lontaran sejauh 4.18m, manakala Paijol Benhar menyumbang emas dalam lompat jauh T46/T47 lelaki (kecacatan fizikal) dengan lompatan 5.90m.
Doriah Poulus turut menambah koleksi emas Sabah selepas mengungguli lontar peluru F44/F64 wanita menerusi catatan 8.92m.
Sabah turut menguasai acara 400m T20 apabila Nurul Sahada Hawani Abdullah memenangi kategori wanita dengan catatan satu minit 2.54 saat (s), manakala Renoddry Remey menjuarai kategori lelaki dalam 49.48s.
Dalam pada itu, Muhammad Hafiq Hizwan dari Melaka mencipta rekod kebangsaan dalam acara 400m T46 lelaki (kecacatan fizikal) selepas mencatat 54.07s untuk meraih emas.
Saingan para olahraga diteruskan dengan pelaksanaan langkah pencegahan dan pemantauan susulan keadaan jerebu, termasuk mengehadkan tempoh setiap sesi pertandingan kepada maksimum dua jam.
Sementara itu, di Akuatik Selangor, perenang cilik tuan rumah Alysha Aryana Mohd Khairul Azli mencuri tumpuan apabila memperbaharui rekod kebangsaan pada penampilan sulungnya di temasya berkenaan.
Perenang berusia 12 tahun itu memenangi acara 100m gaya bebas wanita S14 (kecacatan intelektual) dengan catatan 1:04.84s, mengatasi rekod kebangsaan miliknya sendiri, 1:07.34s, yang dicipta pada Kejohanan Sirkit MSNM Para Siri 2/2026.
Di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), atlet para powerlifting Sarawak Bibiana Ahmad turut mencipta rekod kebangsaan baharu selepas melakukan angkatan terbaik 86 kilogram (kg) untuk memenangi emas kategori lightweight bawah 61kg wanita.
Angkatan itu mengatasi rekod kebangsaan 85kg miliknya sendiri, dengan kejayaan berkenaan lebih bermakna selepas atlet berusia 38 tahun itu hampir tidak menjamah makanan selama dua hari bagi memastikan berat badannya menepati had kategori pertandingan.
Pada hari ketiga temasya, Sabah mendahului carta pingat dengan 26 emas, 15 perak dan 15 gangsa, diikuti Selangor di kedudukan kedua dengan 19 emas, 14 perak dan 16 gangsa, manakala Sarawak ketiga dengan 15 emas, 12 perak dan 16 gangsa.
-- BERNAMA