Am 07/09/2026 11:24 PM

Enam Pendaki Berjaya Dibawa Keluar, Dirawat Di Klinik Kesihatan Pos Kemar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Enam Pendaki Berjaya Dibawa Keluar, Dirawat Di Klinik Kesihatan Pos Kemar

GERIK, 7 Sept (Bernama) -- Enam individu yang menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan, selamat dibawa keluar oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) malam ini. 

Ketua Polis Daerah Gerik Superintenden Abdul Samad Othman berkata mangsa dibawa keluar dari Kem Kulim dan tiba di Kampung Lelar kira-kira 8.45 malam. 

“Kesemua mangsa sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Pos Kemar dan berada dalam keadaan baik serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata mangsa sebelum ini berkumpul di Kem Kulim bersama pasukan penyelamat sebelum meneruskan perjalanan ke Pos Kemar.

Operasi membawa keluar mangsa turut dibantu pasukan malim gunung dari Perak dan Kelantan, yang melibatkan 10 anggota.

Sebelum ini, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan isteri Siti Zulaiha Norizan, 39, serta anak Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, dilaporkan hilang selepas mendaki gunung itu pada 29 Ogos.

Mereka dilaporkan gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan, iaitu 3 Sept dan ahli keluarga membuat laporan polis semalam.

-- BERNAMA