KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- “Tak kenal pun, tapi sanggup bawa balik ke rumah.”
Demikian perkongsian bekas Ahli Dewan Negara (Senator), Datuk Seri Boon Som Inong mengenai kisah Koresponden Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Jakarta, Nik Nurfaqih Nik Wil yang membantu pasangan suami isteri warga Malaysia yang terkandas di Indonesia susulan letusan gunung berapi Anak Krakatau.
Pasangan berkenaan, Amir Hamzah dan Fatin Zulaikha Azizal, sepatutnya pulang ke Malaysia pada Ahad, namun terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta selepas penerbangan mereka ke Kuala Lumpur beberapa kali ditangguhkan sebelum akhirnya dibatalkan.
Boon berkata beliau cuba membantu pasangan berkenaan, yang merupakan kenalan keluarganya, dengan menghubungi rakan-rakan di agensi berkenaan sebelum berhubung dengan Nik Nurfaqih.
“Perlu saya sebut satu perkara. Nik Nurfaqih langsung tidak mengenali mereka, bukan saudara atau kawan, malah sebelum ini tidak pernah bersua muka.
“Tetapi beliau pergi mencari dan menemui pasangan berkenaan. Bukan setakat itu, Nik Nurfaqih kemudian membawa mereka mencari hotel lain,” kata Boon menerusi perkongsian di Facebook.
Menurut beliau, Nik Nurfaqih akhirnya bertindak mengajak pasangan berkenaan untuk menginap di rumahnya selepas usaha mendapatkan bilik hotel gagal ekoran tiada kekosongan.
“Apabila segala usaha mencari tempat penginapan tidak berhasil, Nik Nurfaqih membuat satu keputusan yang benar-benar menyentuh hati saya. Beliau berkata, ‘Mari tinggal di rumah saya.’
“Beliau membawa pasangan pengantin baharu yang tidak dikenalinya itu pulang ke rumah sendiri untuk menumpang sementara menunggu hari mereka dapat berangkat pulang ke Malaysia. Saya terdiam apabila mengetahui perkara itu,” katanya.
Boon memuji tindakan petugas Bernama itu yang sudi menghulurkan bantuan kepada dua rakyat Malaysia yang berada dalam kesusahan di luar negara, sambil menyifatkannya sebagai “wajah sebenar kemanusiaan.”
“Tidak semua orang sanggup meninggalkan keselesaan sendiri, keluar mencari orang yang tidak dikenali, membawa mereka dari satu hotel ke satu hotel, dan apabila semuanya penuh, membuka pintu rumah sendiri untuk mereka. Itulah bezanya antara simpati dengan tindakan,” katanya.
Difahamkan pasangan itu akan pulang ke Malaysia menerusi penerbangan yang dijadualkan semula pada Jumaat.
Tujuh lapangan terbang di Indonesia iaitu Soekarno-Hatta, Halim Perdanakusuma, Radin Inten II, Budiarto Curug, Husein Sastranegara, M. Taufik Kiemas dan Pondok Cabe kekal ditutup sementara.
Setakat 9 pagi Isnin, abu gunung berapi menjejaskan kira-kira 2,300 penerbangan dan 270,337 penumpang sejak 5 Sept, termasuk penerbangan yang dibatalkan, ditangguhkan atau dilencongkan, menurut data Kementerian Pengangkutan Indonesia.
-- BERNAMA