Am 07/09/2026 11:12 PM

Tandatangan Digital Urusan Tanah Akan Diperluas Kepada Orang Ramai

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tandatangan Digital Urusan Tanah Akan Diperluas Kepada Orang Ramai
BERNAMA TV | Astro 502, unifi TV 631, MyTV 121

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Penggunaan tandatangan digital dalam sistem e-Tanah akan diperluas secara berperingkat dalam urusan melibatkan orang ramai, kata Setiausaha Bahagian Tanah, Ukur dan Geospatial Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Muhammad Yasir Yahya.

Beliau berkata pada masa ini, tandatangan pentadbir tanah bagi urusan melalui sistem berkenaan telah dilaksanakan secara digital tanpa menggunakan pen dan dakwat.

“Dari semasa ke semasa, penggunaan tandatangan digital ini akan diperluas kepada urusan yang dilaksanakan oleh orang ramai.

“Pendigitalan pentadbiran tanah bukan sahaja memudahkan urusan secara dalam talian, malah memperkukuh keselamatan, integriti dan kebolehpercayaan rekod hak milik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk “Tanah Kita, Tanggungjawab Bersama” malam ini, yang turut menampilkan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Sementara itu, Mohd Fauzi berkata pendaftaran pindah milik tanah boleh diselesaikan dalam tempoh sehari sekiranya semua syarat dan dokumen ditetapkan dipenuhi.

“Tanah mestilah bebas daripada kaveat, duti setem dan segala bayaran berkaitan telah dijelaskan serta dokumen yang dikemukakan lengkap. Selepas disemak dan didapati lengkap, urusan itu boleh terus didaftarkan,” katanya.

Beliau berkata tempoh sehari itu dikira dari 8 pagi pada hari dokumen dikemukakan hingga 8 pagi hari berikutnya, dan pelaksanaannya telah dicapai di banyak negeri.

Berhubung harta pusaka kecil, Mohd Fauzi menasihati waris supaya memulakan urusan pembahagian secepat mungkin kerana kelewatan boleh menyebabkan berlakunya kematian berlapis, pertambahan jumlah waris dan pertikaian keluarga.

“Permohonan boleh dibuat di 33 pejabat pembahagian pusaka di seluruh negara atau secara dalam talian menerusi portal MyLand dengan mengemukakan dokumen antaranya sijil kematian, salinan kad pengenalan waris dan geran tanah,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Yasir berkata tanah kerajaan yang kelihatan kosong tidak semestinya terbiar kerana tanah berkenaan mungkin telah dirizabkan sebagai kawasan lapang, kemudahan sokongan atau bagi pembangunan pada masa hadapan.

Beliau berkata menerusi Hala Tuju Pengurusan Tanah Persekutuan 2021-2030, tanah Persekutuan yang belum diperlukan untuk pembangunan segera boleh dioptimumkan menerusi penggunaan sementara yang bersesuaian, tertakluk pada kelulusan pihak berkuasa negeri.

Perancangan penggunaan sesuatu tapak juga, katanya, boleh dinilai semula mengikut perubahan demografi serta keperluan semasa masyarakat.

“Sebagai contoh, tapak yang pada asalnya dirancang untuk pembinaan sekolah boleh dipertimbangkan bagi kegunaan awam lain seperti hospital sekiranya keperluan di kawasan itu berubah,” katanya.

Mohd Fauzi juga menggesa pemilik tanah persendirian supaya mengetahui kedudukan hartanah mereka, memeriksa keadaannya serta memasang pagar atau papan tanda bagi mengurangkan risiko pencerobohan.

“Ada pemilik yang hingga 20 atau 50 tahun tidak mengetahui lokasi tanah mereka. Apabila diperiksa, mungkin sudah terdapat bangunan, kilang atau tanaman di atasnya,” katanya sambil menambah sebarang pencerobohan wajar ditangani secara berhemat dan mengikut undang-undang.

-- BERNAMA