KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Maktab Ketahanan Nasional (MKN) perlu terus diperkasakan sebagai institusi berwibawa dalam membentuk barisan kepimpinan yang mampu mendepani landskap keselamatan dan pertahanan negara yang semakin kompleks.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata MKN menjadi platform penting dalam meningkatkan kefahaman mengenai keselamatan dan pertahanan negara dalam kalangan pemimpin kanan sektor pertahanan, keselamatan dan awam.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman Facebook selepas menerima kunjungan hormat Komandan MKN Mejar Jeneral Datuk Saiful Bahari Zainol di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Katanya, MKN antara institusi di bawah Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) yang berperanan membangunkan kepimpinan strategik.
Mohamed Khaled berkata beliau berharap agar MKN di bawah kepimpinan Saiful Bahari terus diperkasakan sebagai institusi yang berwibawa dalam peranannya melahirkan pemimpin yang berkeupayaan membuat pertimbangan strategik serta memahami kepentingan keselamatan dan pertahanan negara secara menyeluruh.
Terdahulu, Mohamed Khaled ketika menerima kunjungan hormat daripada Presiden PUSPAHANAS yang baharu, Left Jen Datuk Mahadzer Amin turut berharap institusi itu terus berperanan sebagai medan utama dalam membentuk pemikiran strategik serta melahirkan barisan kepimpinan pertahanan yang berupaya mengharungi cabaran keselamatan semasa dan masa hadapan.
-- BERNAMA