MELAKA, 4 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan RM300,000 untuk disalurkan kepada golongan penghantar makanan (p-panggilan) sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam menggerakkan ekonomi serta memudahkan urusan rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata menerusi peruntukan itu, setiap seorang menerima RM100 melibatkan 3,000 penghantar makanan yang hadir pada Majlis Perasmian Pembukaan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 malam ini.
"Saya tahu, apa yang kita usahakan ini mungkin belum mampu menjawab segala cabaran yang saudara-saudari hadapi setiap hari tetapi percayalah, di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat, setiap suara, kebajikan dan masa depan warga p-panggilan sentiasa berada dalam perhatian kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini malam ini.
Turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri yang juga Penyelaras Program sempena Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Ab Rauf berkata pemberian yang diusahakan kerajaan negeri untuk warga p-panggilan pada malam ini hanyalah sebahagian daripada komitmen yang lebih besar kepada seluruh anak muda Melaka.
Beliau berkata kerajaan negeri juga telah menyediakan sebanyak lapan pusat istirahat atau rider pitstop di lokasi strategik supaya warga p-panggilan mempunyai tempat yang selesa dan selamat untuk berhenti berehat.
Katanya, bermula 1 Okt ini, komuniti p-panggilan di Melaka berpeluang menikmati subsidi dan diskaun penyelenggaraan motosikal bagi mengurangkan beban kewangan golongan itu.
"Kita juga akan usahakan mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah bengkel khas di setiap Dewan Undangan Negeri yang menawarkan diskaun supaya kemudahan ini lebih dekat dan mudah diakses.
"Kerajaan negeri juga akan meneliti caruman perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memperkukuh aspek keselamatan dan kebajikan warga p-panggilan untuk jangka panjang," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tiga tahun bersama barisan kepimpinan negeri memikul amanah mentadbir Melaka, agenda anak muda sentiasa diletakkan sebagai antara keutamaan kerajaan negeri.
"Atas dasar itulah, lebih 100 inisiatif telah digerakkan khusus untuk pembangunan anak muda negeri ini," katanya.
-- BERNAMA