Am 04/09/2026 11:46 PM

Qabil Irfan Kemalangan Ketika Sesi Latihan Bebas Piala Eropah Moto4

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Qabil Irfan Kemalangan Ketika Sesi Latihan Bebas Piala Eropah Moto4
fb ZK Racing

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan terbabit dalam kemalangan pada sesi Latihan Bebas 2 (FP2) Piala Eropah Moto4 di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, hari ini.

Pasukan ZK Racing memaklumkan pelumba berusia 14 tahun itu dikejarkan ke hospital berdekatan bagi menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan lanjut namun maklumat terkini mengenai keadaan perlumba berkenaan tidak dinyatakan. 

“Semasa sesi itu, Qabil Irfan mengalami kemalangan dan tidak dapat meneruskan sesi tersebut.

“Sebarang perkembangan akan kami kemas kini dari semasa ke semasa melalui platform ZK Racing,” menurut ZK Racing dalam kenyataan hari ini.

Pusingan kelima Piala Eropah Moto4 berlangsung di Litar Ricardo Tormo dari 4 hingga 6 Sept ini, menyaksikan Qabil Irfan kembali beraksi di litar yang pernah menyaksikan kejayaannya dalam saingan FIM MiniGP.

Qabil Irfan sebelum ini mencuri perhatian dalam kempen sulungnya di Piala Eropah Moto4 apabila meraih podium pertamanya selepas menamatkan Perlumbaan 2 pusingan ketiga di Jerez, Sepanyol, di tempat ketiga.

-- BERNAMA