IPOH, 4 Sept (Bernama) -- Sekumpulan warga asing yang sedang bekerja di sebuah kilang papan menghasilkan pintu di Kanthan, Chemor dekat sini bertempiaran sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa Jabatan Imigresen (JIM) hari ini.
Dalam serbuan Ops Mahir itu, sebahagian warga asing berkenaan cuba bersembunyi di celah papan yang tersusun tinggi sehingga ada yang tercedera, namun helah mereka gagal apabila berjaya dikesan anggota penguat kuasa.
Selain itu, ada di antara warga asing terbabit dilihat bersembunyi di celah tong sisa industri manakala cubaan beberapa individu memanjat dinding di pekarangan kilang juga gagal.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi bermula 7 malam tadi itu melibatkan JIM Perak, Kuala Lumpur dan ibu pejabat selain penglibatan beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Zakaria berkata operasi itu dijalankan di sekitar Bercham dan Kanthan, Chemor membabitkan premis kilang papan, kilang sarung tangan dan medan selera.
Beliau berkata daripada 305 pekerja yang diperiksa, 175 daripadanya disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 seperti tidak memiliki dokumen dan permit sah.
Katanya, mereka yang ditahan majoritinya warga Bangladesh, selain warga Myanmar dan Vietnam.
"Selain itu, ada juga yang mempunyai permit tetapi permitnya bukannya di syarikat yang mereka bekerja," katanya.
Zakaria berkata JIM juga mengenal pasti beberapa kes berkaitan menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dan beliau tidak menolak kemungkinan terdapat majikan yang menggunakan khidmat ejen yang mengeluarkan PLKS secara palsu.
Beliau berkata JIM akan membuat siasatan lanjut dari segi modus operandi berkenaan dalam usaha mencari sindiket yang terlibat dalam pengeluaran PLKS palsu tersebut.
Katanya, JIM akan meneruskan operasi penguatkuasaan secara meluas di seluruh negara dan akan mengambil tindakan tanpa kompromi terhadap mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk majikan yang menggajikan warga asing terbabit sekiranya didapati bersalah.
Dalam pada itu, berhubung siasatan dalaman terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pengoperasian kenderaan jabatan susulan kemalangan maut melibatkan lori JIM di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, 19 Ogos lepas, Zakaria berkata perkara itu masih dalam siasatan pihaknya.
"Sekiranya ada pelanggaran SOP ataupun ada SOP yang perlu ditambah baik, kita akan ambil tindakan untuk buat penambahbaikan supaya insiden begini tidak berlaku lagi," katanya.
Ditanya berkenaan 11 pendatang yang melarikan diri dari Depot Imigresen Tanah Merah, Kelantan pada 23 Ogos lepas, Zakaria berkata setakat ini lima individu berjaya ditangkap semula dan enam lagi masih diburu.
-- BERNAMA