KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan penguasaan apabila mencatat kemenangan 3-0 ke atas DPMM FC pada saingan Liga Super 2026-2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor malam ini.
Skuad Harimau Selatan itu bagaimanapun dipaksa bekerja keras sepanjang 30 minit pertama untuk menembusi benteng pertahanan pasukan pelawat.
Kekebalan pertahanan wakil Brunei itu roboh pada minit ke-37 apabila hantaran tepat Arif Aiman Mohd Hanapi berjaya disempurnakan Bergson da Silva.
Skuad kendalian Xisco Munoz menggandakan jaringan empat minit kemudian menerusi kombinasi sama, apabila hantaran Arif Aiman dalam kotak penalti sekali lagi disudahi dengan tenang oleh Bergson.
Bergson hampir melengkapkan hatrik apabila tandukannya pada minit ke-40 berjaya merobek gawang DPMM FC, namun dibatalkan oleh pengadil S. Logeswaran selepas semakan Sistem Pengadil Pembantu Video (VAR) mengesahkan penyerang dari Brazil itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Skuad Harimau Selatan terus mendominasi perlawanan apabila Juan Diego Molina Martínez meledakkan gol ketiga pada minit ke-78 selepas menyempurnakan tandukan Corbin Ong dan keputusan 3-0 kekal sehingga tiupan wisel penamat.
Kedudukan itu membolehkan skuad Harimau Selatan mengungguli carta Liga Super dengan 12 mata manakala DPMM di tangga kesembilan dengan tiga mata.
Sementara itu, aksi di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan menyaksikan Kuala Lumpur City FC menewaskan Kelantan Red Warriors (KRW) 3-1.
Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Musa Philip Dandada pada minit ke-44 selepas menerima hantaran Emmanuel Mbarga.
Pada babak kedua, anak buah Dollah Salleh mula mempamerkan aksi cemerlang apabila sepakan gunting Adam Nor Azlin pada minit ke-53 berjaya mengikat kedudukan 1-1 sebelum menambah derita tuan rumah tiga minit kemudian hasil sepakan percuma yang disempurnakan Paulo Josue untuk meletakkan Kuala Lumpur City FC mendahului 2-1.
Pada minit ke-68, Muhaimin Izzudin Muhammad Asri melakukan sepakan jarak jauh namun bola tersasar tinggi melepasi tiang gol, sekali gus menggagalkan percubaan KRW untuk menyamakan kedudukan.
Paulo muncul wira skuad The City Boys apabila sekali lagi menyempurnakan sepakan percuma untuk membolehkan pasukan pelawat membawa pulang tiga mata dengan kemenangan 3-1 di hadapan 3,320 penonton tuan rumah.
-- BERNAMA