KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan meningkatkan kesiapsiagaan dan pemantauan kualiti udara ke tahap tertinggi berikutan pengisytiharan darurat di Bahagian Serian, Sarawak selepas Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah paras berbahaya 477, malam ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS Azuri Azizah Saedon berkata jabatan itu memandang serius perkembangan kualiti udara semasa dan terus memperkukuh pemantauan serta tindakan di lapangan selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan Arahan NADMA No. 1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara.
“JAS mengambil maklum pengisytiharan darurat di seluruh Serian berikutan keadaan jerebu yang telah mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
“Dalam konteks ini, JAS ingin menegaskan bahawa bidang kuasa dan tanggungjawab JAS adalah kepada pemantauan kualiti alam sekitar, pencegahan dan penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka serta sumber pencemaran yang tertakluk di bawah peruntukan undang-undang alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pengurusan bencana secara keseluruhan pula dilaksanakan secara bersepadu bersama-sama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kerajaan negeri dan agensi berkaitan mengikut peranan, fungsi dan bidang kuasa masing-masing.
Selain Serian, tiga lagi kawasan di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat iaitu Kuching (299), Samarahan (286), dan Sri Aman (247). Selain itu, 18 kawasan di seluruh negara turut berada pada tahap tidak sihat.
Bagi menangani situasi ini, katanya, JAS Sarawak memperkukuh Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) melalui rondaan berfokus di lokasi berisiko tinggi seperti kawasan tanah gambut, hutan, tapak pelupusan sampah dan tapak pertanian.
"JAS turut memantau rapi kejadian kebakaran belukar tanah gambut di Jalan Sibujaya Barat (10 hektar) dan Sungai Nai, Daro (3 hektar) di Mukah. Penerbangan dron akan dilaksanakan bagi mendapatkan gambaran pemantauan terkini di kawasan terjejas.
“Sebarang sumber pembakaran terbuka atau pencemaran yang dikenal pasti akan disiasat dan tindakan penguatkuasaan akan diambil dengan tegas mengikut peruntukan undang-undang serta bidang kuasa JAS,” katanya.
Azuri Azizah berkata JAS akan terus mengemukakan maklumat berkaitan perkembangan situasi, hasil pemantauan, rondaan, OMPT dan tindakan penguatkuasaan secara berkala mengikut mekanisme pelaporan yang ditetapkan bagi memastikan perkembangan situasi dapat dinilai secara berterusan dan tindakan sewajarnya dapat diselaraskan.
“Dalam keadaan semasa, JAS tidak akan berkompromi terhadap sebarang pembakaran terbuka yang dikenal pasti berpunca daripada aktiviti manusia, khususnya sekiranya aktiviti tersebut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara. Tindakan pencegahan, pemeriksaan, siasatan dan penguatkuasaan akan diteruskan berdasarkan bukti serta bidang kuasa yang diperuntukkan kepada JAS,” katanya.
Orang ramai diminta segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui talian 999 atau JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 bagi membolehkan tindakan segera diambil.
-- BERNAMA