Am 03/09/2026 08:40 PM

Jabatan, Agensi Melaka Wajib Kemuka Projek RKB Untuk Dipertandingkan Mulai 2027

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jabatan, Agensi Melaka Wajib Kemuka Projek RKB Untuk Dipertandingkan Mulai 2027
kredit: Majlis Agama Islam Melaka - Rasmi

MELAKA, 3 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka merancang mewajibkan setiap jabatan dan agensi kerajaan di negeri itu mengemukakan sekurang-kurangnya satu projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) untuk dipertandingkan bermula tahun depan bagi memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Salhah Salleh berkata cadangan itu bertujuan memastikan agenda reformasi perkhidmatan awam tidak terhenti sebagai projek atau slogan semata-mata, sebaliknya menjadi budaya penambahbaikan berterusan dalam setiap organisasi.

"Untuk tahun depan, kita cadangkan supaya setiap jabatan dan agensi akan ada satu RKB yang akan dipertandingkan dalam konvensyen seperti mana yang kita adakan pada hari ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen RKB Negeri Melaka 2026 di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Dr Mazrina Mohamed Ibramsah. 

Salhah berkata komitmen tinggi daripada semua pihak amat diperlukan bagi menyokong perkembangan pesat ekonomi negeri yang mencatatkan pertumbuhan tiga peratus pada 2025 dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM50.3 bilion serta nilai pelaburan diluluskan mencecah RM14.68 bilion.

Untuk itu, katanya, pemanfaatan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam projek RKB amat penting bagi mengurangkan birokrasi, mengurangkan masa menunggu dan mempercepatkan proses kelulusan demi kemudahan rakyat serta komuniti perniagaan.

"Antara impak RKB adalah penambahbaikan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Melaka menerusi Laporan Cadangan Pemajuan (LCP) 2.0 yang berjaya memendekkan tempoh proses kelulusan daripada 36 bulan kepada hanya sembilan bulan, sekali gus menjimatkan kos pematuhan RM6.2 juta setahun.

"Selain itu, projek pemantauan sampah haram oleh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) turut menunjukkan peningkatan kecekapan tindakan daripada 14 hari kepada serta-merta," katanya. 

Mengenai sasaran konvensyen kali ini, beliau berharap sekurang-kurangnya 10 daripada 20 projek RKB AI yang dipertandingkan mampu meraih pengiktirafan di peringkat kebangsaan daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Tahun lepas kita dapat empat pengiktirafan KSN. Harapan saya tahun ini, sekurang-kurangnya separuh daripada 20 projek yang dipertandingkan ini mendapat pengiktirafan sama ada daripada KSN mahupun JPA," katanya.

Terdahulu konvensyen yang dianjurkan bersama MPC tersebut menyaksikan sebanyak 20 projek RKB berasaskan AI daripada 14 jabatan dan agensi dipertandingkan.

Pada majlis tersebut, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan MPAG diumumkan antara penerima anugerah utama konvensyen RKB peringkat negeri.

-- BERNAMA