KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Anak syarikat penyedia minyak dan gas EPIC Bhd, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) meraih kontrak penyediaan dua kapal tunda luar pesisir daripada PETRA Energy Development Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh PETRA Energy Bhd.
EPIC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kontrak tersebut adalah untuk menyediakan kapal tunda luar pesisir berkapasiti daya tarikan antara 50 hingga 60 tan metrik bagi menyokong operasi di Medan Minyak Banang.
Menerusi kontrak tersebut KPKSB akan menyediakan sebuah kapal tunda luar pesisir utama sebagai kapal sokongan siaga dan sebuah kapal tunda sekunder sebagai kapal bantuan pengangkutan keluar.
“Kapal tunda luar pesisir utama akan disediakan bagi tempoh awal selama 934 hari, dengan pilihan untuk dua tempoh lanjutan masing-masing selama 365 hari manakala kapal tunda luar pesisir sekunder akan disediakan selama 100 hari berdasarkan keperluan tertakluk kepada terma dan syarat kontrak,” menurut syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Dr Muhtar Suhaili berkata penganugerahan kontrak itu mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan KPKSB dalam menyokong keperluan operasi industri luar pesisir.
“Melalui kerjasama ini, pihak kami akan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman operasi marin syarikat untuk memberikan perkhidmatan sokongan kapal tunda luar pesisir yang cekap bagi operasi di Medan Minyak Banang,” katanya.
Menurut EPIC, KPKSB terus memperluas penglibatannya dalam perkhidmatan marin dan sokongan luar pesisir, di samping memperkukuh kedudukan Kemaman sebagai hab maritim dan sokongan luar pesisir yang strategik di Pantai Timur Malaysia, selaras dengan pelan pembangunan Pelabuhan Kemaman.
“Seiring dengan perkembangan dinamik operasi luar pesisir, perkhidmatan sokongan marin yang boleh dipercayai kekal penting bagi memastikan kelangsungan operasi. KPKSB komited untuk menyediakan perkhidmatan yang memenuhi piawaian keselamatan, kebolehpercayaan dan prestasi operasi yang ditetapkan, di samping menjana nilai tambah kepada pelanggan kami,” kata Muhtar.
Bagi menandakan kerjasama tersebut satu majlis menandatangani kontrak diadakan di acara Oil and Gas Asia 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, yang disaksikan Muhtar bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd Datuk Haji Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PETRA Energy Mohamad Subky Bustari.
-- BERNAMA