Am 03/09/2026 10:53 PM

Isu Pendidikan, Ekonomi Masyarakat India Tumpuan Pertemuan Anwar Dan Pemimpin Komuniti - Ramanan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Isu Pendidikan, Ekonomi Masyarakat India Tumpuan Pertemuan Anwar Dan Pemimpin Komuniti - Ramanan
fb Ramanan Ramakrishnan

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Aspek pendidikan, peluang ekonomi, kebajikan dan pembangunan sosioekonomi antara perkara yang dibincangkan dalam sesi pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin masyarakat India hari ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata sesi pertemuan siri kedua itu menghimpunkan kepimpinan daripada sembilan dewan perniagaan serta 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan pandangan komuniti berkenaan termasuk input berkaitan Belanjawan 2027.

Beliau berkata pertemuan itu merupakan usaha berterusan kerajaan untuk mendengar dan memahami secara langsung pandangan, aspirasi serta cabaran yang dihadapi komuniti India.

“Setiap pandangan, kebimbangan dan cadangan didengar sendiri oleh Perdana Menteri. Pendekatan sebegini amat penting supaya dasar dan inisiatif yang dirangka benar-benar mengambil kira realiti serta keperluan masyarakat di lapangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ramanan berkata sesi yang berlangsung secara terbuka, jujur dan konstruktif itu bukan merupakan noktah kepada perbincangan, sebaliknya sebahagian daripada proses libat urus berterusan.

“Apa yang dibangkitkan akan diberikan perhatian dan susulan sewajarnya supaya perbincangan ini menghasilkan langkah yang benar-benar dapat dirasai oleh masyarakat,” katanya.

Beliau dalam pada itu menzahirkan penghargaan kepada pemimpin komuniti yang hadir membawa suara organisasi masing-masing, sekali gus mencerminkan aspirasi, keperluan dan harapan komuniti India secara keseluruhannya.

Ramanan berkata kerajaan akan terus bergerak ke hadapan bersama rakyat dengan mendengar, memahami dan melaksanakan agenda pembangunan.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Ketua Pengarah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) K. Raveendran Nair.

-- BERNAMA