KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) akan mengekalkan 'resipi' kejayaan Sukan SEA 2025 dengan mempertaruhkan 12 pemain sama dalam skuad lelaki bagi menggalas cabaran pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, yang bermula 19 Sept ini.
Presidennya Datuk Mohd Sumali Reduan berkata keputusan itu dibuat berdasarkan prestasi semasa kesemua pemain selain pengalaman luas mereka beraksi di pentas antarabangsa.
Beliau berkata temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya bukan medan untuk melakukan ujian atau eksperimen terhadap pemain muda, sebaliknya tumpuan utama pasukan adalah memburu pingat emas.
"Alasannya adalah pemain-pemain ini pun tengah top form. Tak ada sebab kita nak tolak. Mereka dah terbukti pun, mereka bermain Sukan SEA, mereka main mana pun memang dari segi mental, pengalaman cukup kuat.
"Sebab kena ingat ini temasya yang sangat besar. Sukan Asia ini bukan medan ujian. Ini bukan medan kita nak mencuba. Bagi budak muda main tak boleh. Ini medan yang kita nak dapat pingat. Kita nak dapat emas," katanya pada sidang media pengumuman pemain Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, di sini, malam ini.
Mohd Sumali berkata PSM tidak mahu mengambil risiko dengan memberikan pendedahan pada saat akhir kepada pemain muda, memandangkan harapan yang diletakkan rakyat Malaysia terhadap skuad negara adalah tinggi.
"Sebab itu kita kena senaraikan 12 pemain yang terbaik dalam kalangan yang terbaik. Kita tak boleh ambil risiko letak dua tiga orang budak muda untuk bagi pendedahan.
"Ini adalah Sukan Asia. Harapan ini bukan harapan saya, tetapi harapan negara. Harapan negara yang nak kilauan emas tersebut sudah pastilah kita kena hantar pemain yang kita yakin boleh memberikan persembahan yang memang kita tahu boleh mendapatkan pingat emas. Itu saja," katanya.
Pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bagi acara berpasukan bersama India, Filipina dan Jepun.Bagi acara regu pula, Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Myanmar.
Pada Sukan SEA Thailand 2025, Malaysia merangkul dua pingat emas dengan menewaskan musuh tradisi Thailand 2-1 acara regu berpasukan dan Vietnam 2-0 dalam acara antara regu.
Senarai pemain ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026:
TEKONG: Syahir Rosdi, Haziq Hairul Nizam, Zulkifli Razak dan Zarif Marican Ibrahim Marican.
PEREJAM: Azlan Alias, Noraizat Nordin, Afifuddin Razali dan Hafizul Hayazi Adnan.
PENGUMPAN: Farhan Adam, Amirul Zazwan Amir, Aidil Aiman Azwawi dan Zuleffendi Sumari.
KETUA JURULATIH: Ahmad Jais Baharun
-- BERNAMA