KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Parlimen perlu mengambil kira cabaran demografi seperti peningkatan populasi warga emas, saiz keluarga yang semakin mengecil dan perubahan keperluan antara generasi dalam menggubal undang-undang, menentukan belanjawan serta merangka dasar yang bersesuaian, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Beliau berkata isu kependudukan dan pembangunan akhirnya menjadi persoalan politik kerana keutamaan rakyat perlu dizahirkan melalui perundangan, institusi serta perbelanjaan kerajaan.
“Kata-kata mencetuskan perhatian. Perhatian mewujudkan tekanan. Tekanan membentuk keutamaan dan keutamaan akhirnya diterjemahkan melalui undang-undang, institusi serta belanjawan,” katanya berucap pada majlis makan malam yang dianjurkan untuk peserta Persidangan Tahunan Forum Ahli Parlimen Asia mengenai Kependudukan dan Pembangunan (AFPPD) 2026 di sini.
Hadir sama Menteri Kerja Raya merangkap Presiden AFPPD Malaysia Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan timbalannya yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How.
Johari berkata beliau berbesar hati kerana penuaan, satu isu yang sering menjadi bahan kritikan atau spekulasi dalam kalangan ahli politik, kini diberi perhatian sewajarnya dalam agenda dasar menerusi persidangan berkenaan.
“Ahli Parlimen mempunyai hubungan yang rumit dengan usia. Apabila kita muda, orang ramai memberitahu kita bahawa kita kekurangan pengalaman. Apabila kita memperoleh pengalaman, orang ramai mula bertanyakan bila kita berhasrat untuk bersara.
“Justeru, saya berbesar hati dapat menghadiri persidangan ini, yang buat pertama kali, isu penuaan tidak lagi dilihat sebagai bahan kritikan mahupun spekulasi. Sebaliknya ia perkara penting dalam agenda,” katanya.
Johari berkata pelbagai isu yang dibincangkan oleh ahli parlimen pada persidangan berkenaan melangkaui statistik kependudukan merangkumi bagaimana masyarakat mempersiapkan golongan muda untuk menghadapi dewasa, menyokong keluarga, menghargai kerja penjagaan serta membolehkan wanita terlibat sepenuhnya dalam masyarakat.
Beliau berkata ia turut meliputi cabaran untuk menangani jangka hayat yang lebih panjang pada ketika saiz keluarga semakin mengecil.
Johari berkata usaha AFPPD sangat penting memandangkan perubahan demografi mengambil masa beberapa dekad untuk berlaku, sedangkan politik pilihan raya secara umumnya berlangsung dalam tempoh masa yang jauh lebih singkat.
Mengimbau usaha Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sekretariat Global AFPPD, Johari berkata inisiatif berkenaan bermula selepas AFPPD Malaysia kembali dari Tokyo pada April 2024, apabila Lee menemui beliau dengan mengemukakan cadangan berkenaan.
Beliau berkata Lee telah menjelaskan mengapa Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk menjadi tuan rumah dan mengapa Parlimen perlu menyediakan sokongan politik dan institusi yang diperlukan.
Johari berkata beliau kemudian menyertai mesyuarat serantau AFPPD Malaysia di sini pada Julai 2024 yang menumpukan kepada persediaan menghadapi penuaan penduduk dan ekonomi penjagaan.
“Dua tahun kemudian, Sekretariat Global berada di sini (Kuala Lumpur). Jadi, tahniah Howard (Lee),” katanya.
Johari turut menzahirkan tahniah kepada AFPPD, negara anggotanya, Nanta serta seluruh pasukan atas penubuhan Sekretariat Global di Malaysia, di samping menekankan bahawa kejayaan itu tidak boleh diukur berdasarkan jumlah persidangan atau komunike yang dikeluarkan sebaliknya sejauh mana kerjasama parlimen diterjemahkan kepada undang-undang, peruntukan belanjawan, pengawasan dan tindakan.
Beliau berkata perasmian pejabat Sekretariat Global AFPPD di Kuala Lumpur esok menandakan lembahan baharu dalam kerjasama parlimen mengenai kependudukan dan pembangunan.
Persidangan dua hari itu yang bertemakan “Parliamentary Leadership for the Future: An All of Society Approach to the Care Economy and Demographic Resilience”, menghimpunkan ahli parlimen dari Asia, Pasifik, Afrika dan negara Arab.
-- BERNAMA