Dunia 03/09/2026 11:18 PM

Tourism Malaysia Adakan Promosi Di India Untuk Kekalkan Pertumbuhan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Tourism Malaysia Adakan Promosi Di India Untuk Kekalkan Pertumbuhan

Oleh Shakir Husain

HYDERABAD, 19 Ogos (Bernama) -- Tourism Malaysia mempertingkatkan usaha promosi di seluruh India bagi mengekalkan pertumbuhan kukuh ketibaan pelawat dari negara Asia Selatan itu yang direkodkan tahun lepas.

Misi jualan merangkumi 47 ahli yang terdiri daripada agensi pelancongan, pengusaha hotel dan syarikat penerbangan sedang berurusan dengan penggiat industri pelancongan di negara berkenaan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong India.

Misi berkenaan berada di New Delhi pada Rabu selepas mengadakan jerayawara di Chennai pada 13 Ogos dan Mumbai pada 17 Ogos.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata India kekal sebagai antara sumber pasaran paling penting dan pesat berkembang bagi Malaysia, biarpun berhadapan situasi geopolitik semasa yang menjejaskan perjalanan global.

"Menerusi misi jualan ini, kami berhasrat mengukuhkan perkongsian perniagaan, menjana peluang komersial baharu dan menggalakkan rakan industri kami untuk membangunkan pakej pelancongan yang lebih menarik serta kompetitif dan disesuaikan untuk pasaran India.

Pada masa sama, kami mahu menggalakkan pelancong meneroka destinasi di luar jadual perjalanan tradisional Kuala Lumpur dan Genting Highlands," kata Mohd Amirul Rizal pada sidang media di New Delhi pada Rabu.

Beliau berkata destinasi seperti Sarawak, Langkawi, Pulau Pinang, Johor dan Sabah menawarkan potensi amat besar dalam pasaran India, dengan pelbagai pengalaman merangkumi alam semulajadi, pengembaraan dan percutian pulau hingga ke warisan kebudayaan.

Mohd Amirul Rizal turut menyorot usaha Tourism Malaysia untuk mengekalkan penglibatan berterusan bersama syarikat penerbangan dan agensi pelancongan bagi meningkatkan ketibaan pelawat dari India.

Malaysia menerima 1.5 juta pelawat dari India pada 2025.

-- BERNAMA