Ekonomi 03/09/2026 10:46 PM

Xiaomi Perluas Barisan AIoT Dengan Enam Produk Baharu Di Malaysia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Xiaomi Perluas Barisan AIoT Dengan Enam Produk Baharu Di Malaysia
Xiaomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Xiaomi Malaysia memperluas rangkaian produk kecerdasan buatan pelbagai benda (AIoT) dengan memperkenal lima perkakas rumah pintar baharu bersama peranti boleh pakai terbaharunya, Xiaomi Smart Band 11 Active. 

Menurut syarikat itu, barisan perkakas rumah pintar baharu berkenaan merangkumi Mijia Front Load Washer Dryer Pro 12.5kg, Mijia Front Load Washer 8kg, Mijia Smart Air Purifier 6 Plus, Xiaomi Robot Vacuum 6 Max dan Xiaomi Smart Double Stack Air Fryer 12L.

Bagaimanapun, satu daripada produk yang menjadi tumpuan iaitu Mijia Front Load Washer Dryer Pro 12.5kg menawarkan kemudahan dan penjagaan pintar untuk cucian harian, menggabungkan kapasiti mencuci 12.5 kilogram dan kapasiti mengering lapan kilogram dalam satu peranti serba guna.

"Direka untuk mengendalikan segala-galanya daripada pakaian harian sehingga ke barangan isi rumah yang besar, dram 525 milimeter (mm) yang luas membantu pengguna menyelesaikan lebih banyak cucian dalam satu kitaran.

"Dalam pada itu, panel kawalan skrin sentuh yang intuitif menawarkan kendalian mudah dengan estetika futuristik dan anggun," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. 

Xiaomi menambah Mijia Front Load Washer 5kg menggabungkan prestasi pembersihan yang berkuasa dengan kemudahan pintar, menampilkan kapasiti mencuci pakaian lapan kilogram serta dram berdiameter besar 525 mm.

Seiring dengan rangkaian perkakas rumah tersebut, Xiaomi turut memperkenalkan Smart Band 11 Active yang menawarkan ciri pemantauan kesejahteraan dan aktiviti harian dalam reka bentuk yang anggun serta ringan.

Xiaomi menyatakan bahawa Xiaomi Robot Vacuum 6 Max, Xiaomi Smart Double Stack Air Fryer 12L dan Xiaomi Smart Band 11 Active boleh diperoleh bermula 2 Sept, 2026.

-- BERNAMA