Dunia 03/09/2026 09:33 PM

Prinsip Berkecuali ASEAN Aset Penting Dalam Persaingan AS-China - Penganalisis

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Prinsip Berkecuali ASEAN Aset Penting Dalam Persaingan AS-China - Penganalisis

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Keupayaan ASEAN mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) dan China kekal menjadi antara asetnya yang paling bernilai di tengah-tengah persaingan yang semakin meningkat antara kedua-dua kuasa besar berkenaan, kata Profesor Kishore Mahbubani.

Felo Tersohor di Institut Penyelidikan Asia, National University of Singapore (NUS) itu berkata ASEAN telah memperlihatkan daya tahan yang luar biasa dengan mengekalkan keamanan, pertumbuhan dan kemakmuran di rantau ini meskipun berlaku perubahan dalam dinamik kuasa global.

Menyampaikan ucaptama pada forum pelaburan FOREWORD KL 2026 di sini hari ini, Mahbubani berkata pergolakan geopolitik pada masa ini didorong oleh tiga perkembangan utama iaitu perang di Ukraine, konflik dengan Iran serta persaingan AS-China.

Beliau menyifatkan persaingan antara AS dan China sebagai persaingan geopolitik terbesar dalam sejarah manusia serta mengingatkan agar tidak memandang rendah terhadap mana-mana kuasa berkenaan, dengan mengambil kira daya tahan China dan kekuatan ekonomi AS selepas menerajui ekonomi global selama lebih seabad.

“Dalam geopolitik, jangan sesekali menganggap perkara ini mudah namun kita semua boleh bersatu dan menyatakan kepada kedua-dua pihak bahawa ‘kami mahu bersahabat dengan AS dan juga dengan China’,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan oleh AHAM Capital Asset Management hari ini.

Mahbubani berkata pencapaian ASEAN yang paling terlepas pandang ialah kejayaannya mengekalkan keamanan, yang sebahagian besarnya hampir tidak disedari oleh rakyat rantau ini sendiri walaupun blok itu beroperasi dalam persekitaran yang dipengaruhi ketegangan geopolitik di Asia Timur Laut, Laut China Selatan dan Semenanjung Korea.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Pendapatan Tetap AHAM Asset Management Bhd Esther Teo berkata ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan meskipun pertumbuhan global sedang sederhana serta ketegangan geopolitik berterusan.

Beliau berkata permintaan domestik yang mapan serta peranan Malaysia yang semakin penting dalam rantaian bekalan teknologi dan semikonduktor global kekal menjadi kekuatan utama, khususnya ketika negara menghampiri Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Bagi pelabur institusi, siapa yang akan menang bukanlah persoalan utama kerana yang lebih penting ialah dasar mana yang akan terus dilaksanakan tanpa mengira keputusan pilihan raya serta sama ada kedudukan Malaysia mampu bertahan sepanjang tempoh peralihan itu,” katanya.

Dalam perbincangan panel mengenai landskap politik dan makroekonomi Malaysia, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kejelasan dasar dan kekuatan institusi penting dalam memastikan keyakinan pelabur sepanjang kitaran pilihan raya.

Beliau berkata Malaysia perlu mencapai tahap iaitu syarikat dan pelabur tidak terlalu bimbang terhadap keputusan pilihan raya umum, dengan institusi yang cukup kukuh untuk memastikan kesinambungan pentadbiran tanpa mengira perubahan kerajaan.

“Kita memiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) yang kukuh, badan kawal selia dan badan berkanun. Mesej yang kita perlu sampaikan kepada pelabur dan peniaga ialah wang anda selamat dan peraturan tidak berubah,” katanya.

Mengenai asas kekuatan Malaysia, Khairy berkata Malaysia berada pada kedudukan lebih baik dengan kelebihan mempunyai sumber asli, sektor ekonomi yang pelbagai serta kelebihan strategik yang dimilikinya, selain mempunyai pelbagai pemacu pertumbuhan termasuk minyak dan gas, elektrik dan elektronik, minyak sawit, sektor pembuatan, pelancongan serta perkhidmatan.

Turut senada, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The Edge Datuk Ho Kay Tat berkata pelabur mahukan kejelasan dan tidak menyukai dasar yang sering berubah-ubah.

Sementara itu, dalam perbincangan bertajuk “Unlocking Value in Local Equities: Regional ValueUp Programmes”, ahli panel berkata pasaran Asia termasuk Korea Selatan, Singapura dan Malaysia sedang melaksanakan reformasi Value-Up pada masa yang sama kerana kesemuanya berdepan masalah struktur serupa iaitu pulangan atas ekuiti (ROE) yang rendah, kunci kira-kira yang tidak cekap, pulangan pemegang saham yang lemah, kebimbangan tadbir urus serta penglibatan pelabur yang tidak mencukupi.

Program Value-Up ialah usaha yang berasaskan dasar untuk mendorong syarikat tersenarai mengamalkan disiplin modal yang lebih baik, meningkatkan pulangan kepada pemegang saham serta pendedahan maklumat yang lebih jelas, sekali gus memastikan saham mereka diniagakan lebih hampir kepada nilai saksama.

Ketua Ekuiti Asia, Amova Asset Management Kenneth Tang pula berkata Value-Up mampu menjadi pemangkin kepada penilaian semula yang mampan terhadap ekuiti Asia tetapi hanya jika ia benar-benar membawa perubahan dalam tingkah laku korporat, bukan sekadar komunikasi yang lebih baik.

“Pasaran yang paling berkemungkinan meraih manfaat ialah pasaran yang syarikatnya melaksanakan penambahbaikan yang boleh diukur dari segi ROE, dividen, belian balik saham, tadbir urus serta penglibatan pelabur. Ketika itulah Value-Up bukan lagi sekadar tema sebaliknya menjadi faktor struktur yang mendorong pelabur global mengagihkan semua modal ke dalam ekuiti Asia,” katanya.

Bagi Timbalan Ketua Ekuiti (Malaysia) AHAM Asset Management Bhd David Loh, program MY Value-Up berpotensi menjadi pemangkin perubahan besar kepada pasaran domestik sekiranya dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau berkata program berkenaan yang merangkumi bursa saham, syarikat-syarikat yang menyertainya serta GLIC berpotensi mendorong perubahan struktur dalam amalan dan tingkah laku korporat.

FOREWORD KL 2026 bertemakan “Navigating a Changing World: Geopolitics, Market Transformation & Malaysia’s Future”, menghimpunkan lebih 350 pelanggan institusi, institusi kewangan, rakan pengedaran serta pelanggan pengurusan kekayaan.

Forum pelaburan berkenaan dianjurkan oleh AHAM Capital dengan kerjasama Amova Asset Management sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-25 AHAM Capital.

-- BERNAMA